RINGKASAN EKSEKUTIF
Malaysia masih belum menjadi ahli Konvensyen Berkenaan Status Orang Pelarian. Suruhanjaya sedang
dalam proses meneliti Konvensyen tersebut dalam usaha mengesyorkan Kerajaan meratifikasikannya.
Suruhanjaya juga telah memulakan kajian berhubung isu-isu yang menjejaskan hak golongan lesbian,
gay, bi-seksual dan transgender (LGBT).
Menyedari bahawa amat penting bagi Suruhanjaya menghadiri kes-kes mahkamah yang berkaitan
dengan isu hak asasi manusia, Suruhanjaya sedang meneliti cara terbaik untuk memainkan peranan
sebagai amicus curiae dalam kes-kes tersebut.
LAPORAN KUMPULAN KERJA HAK EKONOMI,
SOSIAL DAN KEBUDAYAAN
Kumpulan Kerja Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ECOSOCWG) terus bekerjasama dengan
Kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO), dan organisasi masyarakat sivil bagi menangani pelbagai
isu hak ekonomi, sosial dan kebudayaan (ESCR) di Malaysia. Antara aktiviti yang telah dianjurkan
ialah perbincangan meja bulat mengenai hak asasi manusia, kebebasan beragama, hak kaum
wanita Penan berkenaan dakwaan perkosaan, pemerdagangan orang, dan hak asasi manusia dan
perniagaan. Suruhanjaya iaitu melalui ECOSOCWG telah mengaturkan beberapa mesyuarat bersama
agensi Kerajaan dan NGO bagi membina jalinan kerja yang baik.
LAPORAN JAWATANKUASA ISU DAN KERJASAMA
ANTARABANGSA
Suruhanjaya telah memainkan beberapa peranan utama dalam usahanya meningkatkan interaksi
dengan jentera hak asasi manusia di peringkat serantau dan antarabangsa.
Di peringkat antarabangsa, Suruhanjaya giat menyertai aktiviti dan mesyuarat yang dianjurkan
oleh Jawatankuasa Koordinasi Antarabangsa untuk Institusi-Institusi Nasional dalam Kemajuan
dan Perlindungan Hak Asasi Manusia (ICC). Di ICC, perbincangan banyak ditumpukan pada status
akreditasi Suruhanjaya. Ini telah menjurus ke arah pindaan Akta Hak Asasi Manusia Malaysia 1999
bagi memenuhi Prinsip Paris sebagaimana yang ditafsirkan oleh ICC. Susulan daripada pindaan
tersebut, Suruhanjaya kini memperolehi status “A”.
Di peringkat serantau, Suruhanjaya merupakan ahli Forum Institusi-institusi Hak Asasi Manusia
Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF), dan merupakan tuan rumah kepada Mesyuarat Tahunan SEANF
Ke-7 pada 15-16 November. Sebagai ahli kepada Forum Asia Pasifik (APF), Suruhanjaya telah menyertai
banyak aktiviti berkenaan kemajuan hak asasi manusia di rantau ini.
10