RINGKASAN EKSEKUTIF
RINGKASAN EKSEKUTIF
Dengan keanggotaan baru yang mengambil alih tugas pada April 2010, Suruhanjaya sehingga kini
terus komited dalam merealisasikan rasa hormat terhadap hak asasi manusia melalui aktiviti-aktiviti
promosi dan perlindungannya.
Suruhanjaya mengulangi pendiriannya menyeru agar dimansuhkan kesemua undang-undang yang
membenarkan penahanan tanpa bicara. Undang-undang tersebut bercanggah dengan prinsip teras
hak asasi manusia sejagat yang memerlukan seseorang individu didakwa di mahkamah sekiranya
disyaki melakukan kesalahan.
Suruhanjaya turut menekankan kepentingan menghormati hak kepada kebebasan berhimpun secara
aman. Suruhanjaya berpandangan bahawa perhimpunan aman tanpa permit di bawah Seksyen 27A
Akta Polis 1967 wajar dihapuskan.
Kebebasan media adalah penting dalam memastikan kebebasan bersuara dan bermaklumat
diamalkan. Suruhanjaya menyeru agar undang-undang dan peraturan yang menyekat kebebasan
media di Malaysia dihapuskan dan berpendapat bahawa media perlu mengamalkan kawalan-selia
sendiri. Bagi mencapai maksud tersebut, Suruhanjaya mengesyorkan pembentukan majlis media
yang bebas.
Menyedari isu penukaran agama pasangan berkahwin kepada Islam mungkin mengakibatkan
pertikaian hak penjagaan dan nafkah anak, dan pertikaian tersebut mungkin diburukkan lagi oleh
undang-undang Syariah yang tidak konsisten antara negeri-negeri di Malaysia, Suruhanjaya telah
mengemukakan memorandum kepada Majlis Raja-Raja mencadangkan agar undang-undang Syariah
di Malaysia diseragamkan.
Tahun ini menyaksikan kesungguhan Kerajaan dalam membanteras pemerdagangan orang. Walau
bagaimanapun, Suruhanjaya bimbang akan hakikat bahawa hal penyeludupan migran dimasukkan
ke dalam Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007, yang mungkin boleh mendatangkan kesan buruk
terhadap mangsa pemerdagangan orang yang sebenar.
Suruhanjaya terus menerima aduan terhadap pegawai penguatkuasa undang-undang, terutamanya
polis mengenai pelbagai isu termasuk dakwaan pihak polis tidak menyiasat laporan yang dibuat,
kekasaran polis semasa soal siasat, penyalahgunaan kuasa semasa prosedur reman dan melepaskan
tembakan secara rambang.
7