MESEJ PENGERUSI PERUTUSAN PENGERUSI Laporan Tahunan Ke-10 SUHAKAM ke Parlimen ini merupakan laporan pertama Suruhanjaya sejak pelantikan anggotanya pada April 2010. Suruhanjaya terus menerima pelbagai laporan dan aduan daripada orang awam berhubung penyalahgunaan dan pencabulan hak asasi manusia. Adalah membanggakan apabila melihat ramai rakyat Malaysia kini mulai sedar dan mengamalkan hak asasi mereka berbanding sedekad yang lalu. Kini semakin ramai orang awam mahukan campurtangan Suruhanjaya bagi menyokong hak mereka. Suruhanjaya telah bertindak mengikut kemampuannya, sepertimana digariskan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Suruhanjaya berterima kasih kepada 16 orang anggotanya terdahulu, yang diketuai oleh Tan Sri Abu Talib Othman, atas sumbangan berharga mereka dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sepanjang tempoh perkhidmatan mereka sehingga Suruhanjaya dihormati, dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Ketujuh-tujuh anggota Suruhanjaya semasa akan meneruskan usaha mempromosi, melindungi dan memantau situasi hak asasi manusia secara berterusan dan berdasarkan pencapaian terdahulu, walaupun bilangan anggotanya kecil. Kami percaya perlunya usaha yang berterusan untuk merealisasikan matlamat mutlak dalam membangunkan masyarakat yang lebih menghargai dan menghormati hak asasi manusia, dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang menghormati hak asasi manusia sepenuhnya, berdiri megah setaraf dengan negara-negara lain yang mendahului dalam perkara ini. Keutamaan Suruhanjaya pada tahun ini adalah menangani semula pelbagai isu hak asasi manusia yang ditimbulkan sebelum ini, diikuti dengan memajukan lebih banyak syor yang dibuat oleh Suruhanjaya terdahulu dan pejuang hak asasi manusia yang lain serta memastikan pelaksanaan segera oleh agensi Kerajaan yang berkaitan. Sejak penubuhannya pada 1999, Suruhanjaya telah memainkan peranannya dalam menasihati Kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan, mengenai pembaharuan undang-undang dan polisi dan pelaksanaannya, serta pemantauan undang-undang dan polisi tersebut bagi memastikan keserasian antara undang-undang negara dan prinsip hak asasi manusia. Kami mengalu-alukan tindakan positif yang telah diambil Kerajaan ke arah penambahbaikan keadaan hak asasi manusia di negara ini dan berharap dapat bekerjasama erat dan konstruktif dengan agensi Kerajaan yang berkaitan berhubung perkara ini. 1

Select target paragraph3