SUHAKAM
3.0
Pengenalan
Pendidikan adalah mustahak dalam membentuk generasi muda yang dapat memainkan
peranan penting di dalam perkembangan sesebuah masyarakat mengikut keadaan
dunia semasa. Oleh itu, adalah penting pihak yang bertanggungjawab memastikan
semua kanak-kanak mendapat pendidikan asas, khasnya kaum minoriti yang tinggal
di pedalaman dan kawasan terpinggir. Di Malaysia, pendidikan di peringkat sekolah
rendah telah diwajibkan melalui Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) & Peraturan-Peraturan
Terpilih (Hingga 15hb Disember 2003) seperti yang disebutkan di dalam Bab 2. Oleh
itu, adalah wajar bagi pihak berkuasa untuk memberi perhatian terhadap kemasukan
kanak-kanak Orang Asli ke sekolah.
3.1
Laporan “State of the World’s Minorities and Indigenous Peoples 2009”
Laporan “State of the World’s Minorities and Indigenous Peoples 2009” oleh Minority
Rights Group International (MRG) menyatakan bahawa separuh daripada 101 juta
kanak-kanak di dunia yang tidak bersekolah adalah kanak-kanak daripada kaum minoriti
atau kaum pribumi. Para pakar dari UNICEF juga memperakui kenyataan ini.
Pengarah Eksekutif MRG, Mark Lattimer menyatakan bahawa anggaran tersebut
adalah satu angka yang konservatif kerana ada negara di mana bilangan kanak-kanak
tidak bersekolah mencapai sehingga 80%. Namun begitu, beliau melaporkan terdapat
kemajuan di seluruh dunia dalam masa satu dekad ini mengenai bilangan kanak-kanak
yang bersekolah sekurang-kurangnya di peringkat sekolah rendah. Tetapi, halangan
yang perlu dihadapi ialah mengekalkan mereka dalam sekolah dan mendapatkan
mereka yang langsung tidak bersekolah.
3.2
Status Kemasukan ke Sekolah
Di negara kita masih terdapat kanak-kanak yang tidak pernah bersekolah dan yang
tercicir dari alam persekolahan. Mengikut laporan Kementerian Pelajaran Malaysia, pada
tahun 2009 terdapat 125,080 orang kanak-kanak yang tidak bersekolah langsung.
Mengikut data daripada Kementerian Pelajaran Malaysia lagi, pada tahun 2007,
terdapat 16,715 murid Orang Asli yang berdaftar di sekolah 100% murid Orang Asli.
Sementara itu, Jadual 4 menunjukkan bilangan murid pada tahun 2009 ialah seramai
16,770 orang. Perbandingan kedua-dua data ini menunjukkan terdapat peningkatan
dari segi bilangan murid seramai 55 orang dalam jangka satu tahun.
Jadual 4 menunjukkan penurunan bilangan murid di negeri Pahang, Selangor, Negeri
Sembilan. Walaubagaimanapun, terdapat peningkatan bilangan murid di negeri Perak,
Johor, Kelantan dan Terengganu.
21