RINGKASAN EKSEKUTIF
RINGKASAN EKSEKUTIF
Tidak dinafikan bahawa tahun ini merupakan tahun yang luar biasa bagi pergerakan hak asasi manusia
di Malaysia. Apabila kumpulan masyarakat sivil terus memberi tekanan untuk perubahan, Kerajaan
telah bertindak balas dengan mengorak langkah awal ke arah reformasi. Suruhanjaya menghargai
aspirasi Perdana Menteri kepada Negara serta pengiktirafan dan penghormatan beliau kepada hak
asasi manusia di samping peraturan undang-undang.
Kemuncaknya adalah apabila Rang Undang-undang Perhimpunan Aman telah diluluskan di Parlimen
pada 20 Disember. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya sedia maklum, bahawa pindaan Kerajaan
ke atas draf undang-undang tidak sejajar dengan cadangan daripada pihak yang prihatin, termasuk
Suruhanjaya sendiri. Oleh itu, Kerajaan digesa supaya mengkaji semula Akta tersebut, dengan
mengambilkira prinsip hak asasi manusia antarabangsa. Sementara itu, Suruhanjaya menyeru kepada
Kerajaan agar memastikan penguatkuasaan Akta tersebut mematuhi prinsip hak asasi manusia yang
menjamin kebebasan berhimpun, dan membuka ruang untuk perbincangan mengenai peruntukan
Akta yang kontroversi.
Setelah berterusan menggesa agar semua undang-undang tahanan pencegahan dimansuhkan kerana
undang-undang tersebut melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia, Suruhanjaya memuji keputusan
Kerajaan membatalkan Perintah Darurat yang sedia ada dan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam
Negeri 1960 (ISA). Suruhanjaya berharap bahawa, dalam penggubalan undang-undang untuk
menggantikan ISA, semua pihak yang berkaitan akan dirujuk dan syor-syornya yang sekian lama
akan diberi perhatian sewajarnya.
Dalam mengekalkan mandat Suruhanjaya untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia,
Kumpulan Kerjanya mencapai objektif utama mereka melalui proram dan aktiviti yang berterusan
sepanjang tahun, serta memanjangkan capaian kepada kumpulan sasaran baru atau mengintegrasikan
isu-isu tambahan yang memerlukan perhatian dan campur tangan Suruhanjaya.
LAPORAN KUMPULAN KERJA PENDIDIKAN DAN
PROMOSI (EWG)
Ekoran kejayaan projek pilot Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di sekolah (ATHAM), EWG mengorak
langkah seterusnya dengan melibatkan penyertaan 12 buah sekolah lagi ke dalam program ini. Dalam
masa yang sama, sekumpulan penyelidik menjalankan kajian formatif ke atas projek pilot tersebut,
yang akhirnya mengesyorkan program tersebut diteruskan dengan beberapa penambahbaikan.
7