RINGKASAN EKSEKUTIF
Jawatankuasa Inkuiri Nasional turut melibatkan penyertaan Kerajaan Persekutuan dan Negeri,
komuniti orang asal, sektor swasta, ahli akademik dan kumpulan masyarakat sivil dalam pencarian
mendapatkan maklumat dan jawapan di seluruh negara. Proses ini telah melibatkan sesi taklimat
pengenalan untuk kumpulan utama; rundingan awam dengan pihak berkepentingan; dan penerimaan
penghujahan bertulis. Ini diikuti dengan Pendengaran Awam pada bulan Januari 2012.
Bagi menyokong proses itu, Suruhanjaya telah melantik penyelidik untuk menjalankan penyelidikan
secara mendalam, antara lain, mengenai konflik tanah, undang-undang dan dasar yang melibatkan
tanah Orang Asal/Asli dan sejauh mana ianya mematuhi standard hak asasi manusia antarabangsa.
Pemetaan GIS mengenai sempadan tuntutan/wilayah pribumi juga akan dijalankan bagi kes-kes
utama.
Jawatankuasa Inkuiri Nasional dijangka akan menyiapkan laporannya pada 2012.
LAPORAN MENGENAI ANUGERAH HAK ASASI MANUSIA
Bersempena dengan sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia pada 10 Disember, buat julung
kalinya Suruhanjaya telah mengadakan Majlis Anugerah Hak Asasi Manusia. Ia untuk mengiktiraf dan
menghargai individu dan organisasi yang telah banyak memberikan sumbangan dan usaha dalam
mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.
Pencalonan terbuka kepada tiga kategori berbeza iaitu Anugerah Komuniti (Individu), Anugerah
Komuniti (Organisasi) dan Anugerah Media.
Pemenang adalah Cik Tijah Yok Chopil bagi sumbangannya secara aktif kepada masyarakat Orang
Asli, SUARAM bagi usaha yang berterusan dalam mempromosi hak kesamarataan dan Cik Selina
Kong Lik Hwan (Edisi Siasat Mandarin, NTV7) bagi laporan bertajuk ‘Young Maid For Sale 1’.
Di samping itu juga, Suruhanjaya telah menyampaikan Anugerah Khas kepada Sekolah Integriti
yang ditubuhkan oleh Jabatan Penjara kerana memperjuang dan mempertahankan hak pesalah
juvana kepada pendidikan.
12