RINGKASAN EKSEKUTIF
Ketika mengetengahkan hak untuk pendidikan kepada kanak-kanak Orang Asli, EWG mencari
penyelesaian kepada faktor-faktor yang masih menyebabkan kanak-kanak ini tidak hadir sekolah.
Kebimbangan lain pula melibatkan dua buah sekolah agama di Perlis yang mengalami kesukaran
dalam pendaftaran ekoran dasar dan prosedur Kementerian Pelajaran dan Jabatan Agama Islam.
Kejayaan telah dicapai dalam meluaskan kesedaran hak asasi manusia dengan melibatkan pemimpin
pelajar dari institut politeknik, dan penandatanganan Memoranda Persefahaman untuk tempoh tiga
tahun antara Suruhanjaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Di peringkat yang berbeza, kurikulum
latihan berasaskan hak asasi manusia kini sedang dirangka untuk pegawai penjara.
EWG bekerjasama erat dengan Pusat Latihan untuk Pihak Berkuasa Tempatan dalam mempromosikan
hak asasi manusia kepada pegawai penguatkuasa dari Selangor dan Pulau Pinang. Buat pertama
kalinya, satu bengkel telah diadakan bagi memberi pendedahan kepada pemimpin komuniti
terhadap isu hak asasi manusia dan pentadbiran yang baik. Selain itu, artis turut dilibatkan dalam
perbincangan mengenai peranan mereka menyebarluaskan maklumat mengenai hak asasi manusia
melalui karya seni.
LAPORAN KUMPULAN KERJA ADUAN DAN SIASATAN
(CIWG)
Suruhanjaya menerima 1,232 aduan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching daripada individu,
parti politik dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil. Kebanyakan aduan mengenai peruntukan
undang-undang tahanan pencegahan, khususnya tempoh reman 60 hari, perintah tahanan dua
tahun atau perintah sekatan dua tahun di bawah ISA, Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam
dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas)
1985.
Penahanan di bawah umur dan orang dewasa muda di bawah undang-undang tahanan pencegahan
kekal sebagai amalan yang mengganggu. Contohnya, kesalahan yang didakwa melibatkan kumpulan
ini lebih wajar ditangani di bawah Kanun Keseksaan. Ini akan memastikan perlindungan hak asasi
pesalah muda di bawah kedua-dua undang-undang domestik dan perjanjian antarabangsa.
Satu aktiviti yang ketara pada tahun ini adalah pemantauan 19 perhimpunan awam sebagai respons
kepada permintaan penganjur. Sebagai sekretariat, CIWG mengumpulkan pasukan yang terdiri
daripada Pesuruhjaya dan pegawai-pegawai untuk memantau setiap peristiwa dan, jika perlu, menjadi
perantara antara polis dan penganjur semasa perhimpunan.
8