ULASAN PENGERUSI Penukaran agama kanak-kanak secara unilateral terus menjadi tajuk perdebatan hangat tahun ini. Ia timbul berkali-kali dalam arena politik, ruang media, dan prosiding Mahkamah. Pada tahun 2016, perbincangan tentang isu ini menjadi lebih serius apabila Kerajaan mengumumkan pindaan kepada perundangan, khususnya Rang Undang-undang Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016, untuk mengelakkan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral. SUHAKAM berpendapat bahawa pindaan tersebut akan mewujudkan standard yang lebih jelas dan konsisten untuk menyelaraskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak dengan hak Perlembagaan ibu bapa untuk bebas beragama, kerana di dalam perkahwinan sivil, kedua ibu bapa harus memberikan kebenaran untuk anak mereka memeluk Islam. SUHAKAM juga menyokong cadangan bahawa kanak-kanak boleh mengekalkan agama mereka, supaya kelak kanak-kanak tersebut boleh memilih dengan bebas agamanya, menurut kepercayaannya sendiri, apabila dia mencapai umur dewasa (18 tahun). Mengambil kira betapa pentingnya memupuk persefahaman, sikap tolak ansur, dan hormat-menghormati dalam perkara yang berkaitan dengan kebebasan beragama dan berkepercayaan, SUHAKAM menekankan bahawa isu penukaran agama kanak-kanak secara unilateral di Malaysia, serta halangan yang begitu banyak dalam menikmati sepenuhnya hak untuk bebas beragama, mesti diselesaikan dengan segera oleh Parlimen. Ahli-ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk mengkaji undang-undang sedia ada dan meminda atau memansuhkan mana-mana yang bersifat diskriminasi, tidak saksama, atau kuno, dan SUHAKAM berharap agar Parlimen akan segera menangani isu-isu yang belum selesai ini demi kepentingan negara. Perkahwinan kanak-kanak secara paksa adalah masalah sejagat yang merentasi negara, agama, budaya, dan rejim politik. Oleh kerana amalan ini merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang boleh menjejas tumbesaran kanak-kanak perempuan dengan menyebabkan kehamilan awal, mengganggu pendidikan, mengehadkan peluang untuk kemajuan kerjaya, dan menyebabkan peningkatan risiko keganasan rumah tangga, SUHAKAM menyokong cadangan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) pada tahun ini untuk meningkatkan umur minimum untuk berkahwin kepada 18 bagi kanak-kanak perempuan Muslim di negara ini. Ini bersesuaian dengan Akta Kanak-kanak 2001, yang mentakrifkan kanak-kanak sebagai mereka yang berumur di bawah 18 tahun. Walaupun ada usaha-usaha murni oleh Kementerian untuk tidak menggalakkan amalan tersebut dan meningkatkan kesedaran mengenai kesan buruk perkahwinan kanak-kanak di bawah umur, dari segi penggubalan undang-undang, Parlimen tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan. Walaupun Parlimen patut melibatkan NHRI dalam proses perundangan, termasuk dengan menjemput NHRI untuk memberi nasihat mengenai keserasian hak asasi manusia dengan undang-undang dan dasardasar yang dicadangkan, SUHAKAM masih lagi belum dirujuk. LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2016 13 suhakam BM.indd 13 4/21/17 12:07 PM

Select target paragraph3