ULASAN PENGERUSI Perlindungan dan promosi hak kanak-kanak kekal sebagai salah satu bidang tumpuan utama bagi SUHAKAM pada tahun 2016. Semua dasar, undangundang, dan tindakan yang memberi kesan kepada kanak-kanak telah dipertimbangkan dengan teliti oleh SUHAKAM, dan kami telah menasihatkan pihak berkuasa bahawa kesemua ini mestilah dirangka, dilaksanakan, dan dipantau secara yang selaras dengan kepentingan terbaik kanak-kanak. Di dalam sistem undang-undang kita, masih terdapat ruang bermasalah yang belum ditangani, yang telah terabai di dalam pindaan Akta Kanak-kanak 2001 tahun lepas. Ini termasuk antara lainnya isu-isu mendesak seperti pornografi kanak-kanak, pedofilia, dan perkahwinan kanak-kanak. Kerajaan perlu menjalankan usaha bersepadu untuk membendung masalah eksploitasi kanak-kanak yang semakin meningkat, kerana undang-undang semasa tidak mencukupi dan perlu diperketatkan. Pada masa ini, tidak ada peruntukan dalam undang-undang jenayah Malaysia untuk menangani secara khusus isu pornografi kanak-kanak. Undang-undang sedia ada seperti Akta Penerbitan 1998, Akta Penapisan Filem 2002, dan Kanun Keseksaan tidak menangani isu pornografi kanak-kanak secara menyeluruh. Jawatankuasa Hak Kanak-kanak (Jawatankuasa CRC), apabila mengkaji laporan awal Kerajaan terhadap Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), melahirkan kebimbangan mengenai ketiadaan undang-undang tertentu mengenai kesalahan seksual yang berkaitan dengan Internet termasuk pornografi kanakkanak, dan mengesyorkan kepada Kerajaan untuk mempertimbangkan pemakaian undang-undang khusus mengenai tanggungjawab pembekal perkhidmatan Internet berkaitan dengan pornografi kanak-kanak di Internet. Memandangkan tanggungjawab Malaysia di bawah CRC dan Protokol Pilihan, SUHAKAM sekali lagi mengulangi saranannya kepada Kerajaan untuk menggubal peruntukan khusus dalam Akta Kanak-kanak 2001 untuk menangani isu pornografi kanak-kanak. Oleh kerana kesukaran dalam pelaporan, pengesanan, penyiasatan, atau pendakwaan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, pesalah seks kanakkanak mungkin hanya menghadapi risiko yang rendah untuk disabitkan di bawah undang-undang negara buat masa ini. Disebabkan itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada dan memberi keutamaan tinggi kepada tindakan untuk menangani segala bentuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. Sekarang pun, jenayah tersebut hanya boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan sebagai kesalahan luar tabii atau menghasut kanak-kanak untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau. SUHAKAM berharap bahawa undang-undang yang mantap dan khusus untuk melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan dan penderaan seks akan segera dilaksanakan; termasuk undang-undang yang akan membantu Polis, pendakwa raya, dan agensi-agensi penguatkuasaan untuk menjejaki, menangkap, dan membawa ke muka pengadilan mereka yang cuba mempersiapkan kanak-kanak secara seksual di Internet. 12 LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2016 suhakam BM.indd 12 4/21/17 12:07 PM

Select target paragraph3