ULASAN PENGERUSI
hak asasi manusia untuk semua. Sejak beroperasi pada tahun 2000, SUHAKAM
telah menjalankan pelbagai kerja berkaitan isu-isu hak asasi manusia. Ini
termasuklah hak-hak wanita dan kanak-kanak, orang kurang upaya, pelarian,
pencari suaka dan pekerja asing, penyeludupan manusia, hak asasi manusia
dan perniagaan, pembaharuan undang-undang, dan lain-lain. Daripada isuisu tersebut, hak-hak Orang Asal kekal sebagai topik keutamaan bagi SUHAKAM
kerana masih terdapat janji-janji Kerajaan mengenai hak tanah Orang Asal
yang belum direalisasikan. SUHAKAM berpendapat bahawa kemajuan yang
ditunjukkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hak Tanah Orang Asal
adalah mengecewakan kerana walaupun ada jaminan bahawa 17 daripada
18 syor oleh SUHAKAM dalam Inkuiri Nasional telah diterima oleh Kerajaan, tiada
satu pun yang telah dilaksanakan.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), sebuah badan Kerajaan yang
bertanggungjawab untuk melindungi serta memastikan kesejahteraan dan
kemajuan Orang Asli nampaknya telah gagal untuk melindungi hak-hak
mereka, dan ramai Orang Asli dan juga SUHAKAM telah menyeru supaya kajian
semula yang komprehensif dijalankan ke atas JAKOA.
Dapat disimpulkan bahawa negara ini tidak bersedia untuk menangani dan
menghentikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat terpinggir
ini. Punca pelanggaran hak-hak Orang Asal masih begitu banyak, dan antara
punca-punca tersebut termasuklah diskriminasi yang meluas dan sistematik
terhadap mereka, serta pengetepian mereka dari proses membuat keputusan
dan penglibatan berkesan dalam hal-hal yang secara langsung memberi
kesan kepada mereka. Dalam sistem Parlimen kita, masyarakat pribumi,
khususnya masyarakat Orang Asli tidak diwakili dengan secukupnya. Lebih
memburukkan keadaan, dan boleh dikatakan juga kerana kelengahan dalam
pelaksanaan syor-syor Inkuiri Nasional SUHAKAM, pelanggaran hak tanah adat
telah menjadi semakin teruk pada tahun ini. Kegagalan dalam melindungi hakhak tanah Orang Asal oleh Kerajaan juga telah membawa kepada insiden
seperti kekecohan dan ugutan jenayah di sekatan-sekatan yang dibina oleh
sekumpulan Orang Asli di laluan pembalakan di Gua Musang, Kelantan.
Masyarakat Orang Asli di Gua Musang, dalam satu program, telah melahirkan
kekecewaan mereka terhadap SUHAKAM dan Kerajaan di atas apa yang
mereka anggap sebagai kegagalan di pihak SUHAKAM untuk melaksanakan
syor-syor Inkuiri Nasional. SUHAKAM berpendapat bahawa masyarakat Orang
Asli/Asal yang lemah dan terpinggir ini perlu dihormati dan diberi peluang yang
sama seperti rakyat Malaysia lain untuk menjalani kehidupan yang memuaskan
dan penuh nilai. Masa depan bersama memerlukan penyertaaan kaum Orang
Asli/Asal secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan di Malaysia.
SUHAKAM melihat Parlimen sebagai institusi yang mempunyai peranan penting
dalam perlindungan hak asasi Orang Asal berdasarkan nilai tradisional,
wawasan, keperluan, dan keutamaan mereka tetapi sehingga kini, peranan ini
belum direalisasikan sepenuhnya.
2 LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2016
suhakam BM.indd 2
4/21/17 12:07 PM