PERUTUSAN PENGERUSI
TAN SRI HASMY AGAM
Pengerusi
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
Menurut Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597),
Suruhanjaya dikehendaki untuk mengemukakan Laporan Tahunan kepada Parlimen setiap
tahun sebelum penggal pertama sidang Parlimen. Laporan ini merupakan Laporan Tahunan
ke-15 yang membentangkan rekod aktiviti dan program, isu dan syor, serta pengurusan
kewangan Suruhanjaya bagi tempoh 12 bulan yang lepas.
Suruhanjaya meneruskan usaha dalam menangani pelbagai isu hak asasi manusia termasuk
perniagaan dan hak asasi manusia; Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional (NHRAP);
hak kepada kesihatan dan HIV/AIDS; Jawatankuasa Pemilih Tetap Parlimen Mengenai Hak
Asasi Manusia; serta hak golongan rentan seperti Orang Asli, wanita, kanak-kanak, orang
kurang upaya, warga emas, tahanan, pelarian dan pencari suaka, pekerja migran dan golongan
transgender. Suruhanjaya juga terus memantau pelaksanaan Negara terhadap obligasi triti di
bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Konvensyen mengenai Penghapusan
Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), dan Konvensyen mengenai Hak
Orang Kurang Upaya (CRPD). Usaha juga telah diambil oleh Suruhanjaya untuk menyeru
penyertaan Malaysia kepada baki triti teras hak asasi manusia antarabangsa.
Sepanjang 2015, Suruhanjaya telah menerima sejumlah 676 aduan, yang mana 333 kes
jatuh di bawah bidang kuasanya. Daripada 333 kes mengenai dakwaan pelanggaran hak
asasi manusia, Suruhanjaya telah menyelesaikan 197 kes, manakala tindakan susulan
sedang diambil bagi aduan yang selebihnya. Kebanyakan aduan adalah berkaitan dengan
isu hak asasi manusia yang berlarutan seperti kewarganegaraan; hak tanah adat Orang Asal;
tangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya; hukuman atau layanan yang zalim dan
tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah; pekerjaan dan pekerja migran, hak
untuk mendapatkan suaka dan status pelarian; hak kepada taraf kehidupan yang mencukupi;
serta hak kepada persekitaran.
1
ANR2016-SUHAKAM-BM Version.indb 1
02/04/2016 3:33 AM