Isu-Isu Utama
Pada masa ini, Suruhanjaya belum dapat menidakkan kemungkinan adanya perkaitan
di antara kematian tahanan dengan keadaan lokap yang kurang memuaskan dan sesak,
di samping kekurangan saringan kesihatan. Daripada pemerhatian Suruhanjaya ke atas
beberapa buah lokap, didapati tahap kebersihan lokap-lokap tersebut jauh lebih rendah
berbanding peraturan piawaian minimum antarabangsa. Keadaan yang tidak memuaskan
ini boleh membawa kepada masalah kesihatan. Kekurangan bilangan lokap menyebabkan
berlakunya kesesakan, dan kesesakan ini menjadi lebih teruk apabila lokap polis terpaksa
dikongsi penggunaannya oleh penguatkuasa undang-undang yang lain serta penguatkuasa
agama sebagai penempatan sementara orang yang ditahan. Masalah bertambah buruk oleh
sebab kekurangan bilangan kakitangan.
Kementerian digesa mengkaji semula isu-isu ini dan mempertimbangkan pembinaan lebih
banyak lokap untuk mengurangkan kesesakan, serta penambahan bilangan kakitangan
untuk mengendalikan tahanan bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit dan pergaduhan
antara tahanan.
5.
HAK KEPADA KESIHATAN DI PENJARA
Kajian “Hak Kepada Kesihatan di Penjara” yang dijalankan oleh Suruhanjaya sedang dalam
proses penilaian data yang telah dikumpul melalui lawatan ke pusat-pusat tahanan serta
kaji selidik dan temu bual bersama tahanan penjara dan/atau pihak penjara yang dijalankan
dalam tahun 2014.
Walaupun pemerhatian Suruhanjaya mendapati peningkatan dalam ketepatan waktu untuk
pemeriksaan kesihatan sebelum kemasukan ke penjara, tidak ada dasar yang standard untuk
pemeriksaan kesihatan secara berkala selepas kemasukan tahanan ke penjara. Suruhanjaya
menekankan bahawa penyakit boleh merebak pada bila-bila masa semasa pemenjaraan.
Sehubungan itu, pemeriksaan kesihatan secara berkala harus dibuat untuk mengelakkan
wabak dan penyebaran penyakit serius. Pemeriksaan kesihatan juga perlu dijalankan sebelum
banduan dipindahkan dari satu penjara ke penjara yang lain.
Selain pemeriksaan kesihatan secara berkala, kebersihan adalah faktor penting bagi menghalang
penyebaran penyakit. Semasa lawatannya, Suruhanjaya mendapati adanya penularan penyakit
kudis yang tinggi di kalangan tahanan disebabkan tahap kebersihan sel penjara yang kurang
memuaskan. Di samping itu, keperluan khusus kesihatan dan kebersihan untuk wanita juga
perlu diberi perhatian. Satu perempat daripada tahanan wanita yang dikaji oleh Suruhanjaya
melaporkan bahawa mereka tidak disediakan dengan tuala wanita semasa haid dan mereka
terpaksa mencari jalan untuk membeli produk ini sendiri. Bagi pihak penjara, oleh kerana
kekurangan peruntukan kewangan, pegawai di penjara wanita tidak dapat memastikan
bahawa barang tersebut sentiasa tersedia dalam bekalan.
24
ANR2016-SUHAKAM-BM Version.indb 24
02/04/2016 3:33 AM