8
LAPORAN TAHUNAN 2019
kepada kursus hak asasi manusia kepada pelajar UNISEL sebagai
subjek elektif.
Sebagai langkah untuk memastikan para pensyarah mempunyai
pengetahuan hak asasi manusia yang mencukupi, SUHAKAM telah
menganjurkan ToT kepada 20 orang pensyarah dari Fakulti Pengajian
Am UNISEL Kampus Shah Alam pada 26 hingga 27 Februari. ToT
tersebut telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Lok
Yim Pheng, disusuli sesi ‘Pengenalan kepada Hak Asasi Manusia
dan Fungsi SUHAKAM’, ‘Triti Hak Asasi Manusia Antarabangsa’, ‘Hak
Asasi Manusia dalam Konteks Malaysia’ dan ‘Isu Semasa Hak Asasi
Manusia’. ToT selama 2 hari tersebut diakhiri dengan lawatan ke Depot
Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk memberi pendedahan kepada
peserta tentang realiti di pusat tahanan dan aspek hak asasi manusia
yang berkaitan.
Suatu pencapaian membanggakan apabila dimaklumkan bahawa
UNISEL telah mula menawarkan kursus hak asasi manusia bermula bulan
April 2019 dan seramai 34 orang pelajar diploma menjadi kumpulan
pertama yang mengambil kursus tersebut pada tahun ini.
5. Bengkel Hak Asasi Manusia kepada Pentadbir Sekolah Tahfiz
Bengkel kepada pentadbir sekolah tahfiz di Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur yang diadakan pada 3 hingga 4 Disember 2018 merupakan
satu kejayaan. Susulan itu, SUHAKAM telah bekerjasama dengan
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz AlQuran Negeri Selangor (PITAS) untuk menganjurkan bengkel untuk para
pentadbir sekolah tahfiz di Selangor pada 22 hingga 23 April 2019 di
Shah Alam, Selangor.
Seramai 60 pentadbir sekolah tahfiz di Selangor menyertai bengkel ini
yang dibahagikan kepada enam sesi ‘Pengenalan kepada SUHAKAM
dan Hak Asasi Manusia’ dan ‘Pengenalan kepada Konvensyen
Mengenai Hak Kanak-kanak’ oleh SUHAKAM; ‘Aspek Keselamatan
Bangunan’ oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor; ‘Aspek
Kesihatan Sekolah Tahfiz Swasta’ oleh Jabatan Kesihatan Negeri
Selangor; ‘Pentadbir Tahfiz Cemerlang’ oleh PITAS; dan ‘Pendaftaran
Sekolah Tahfiz Swasta’ oleh JAIS.