4 LAPORAN TAHUNAN 2019 2. Pengenalan Pendidikan Sivik di Sekolah SUHAKAM memuji usaha KPM memperkenalkan semula pendidikan sivik di semua peringkat pra-sekolah, rendah dan menengah menerusi Modul Exemplar Pendidikan Sivik dan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni Murid Semasa Perhimpunan. Semasa Mesyuarat Kumpulan Fokus Sivik yang telah diadakan pada 5 dan 26 Mac, SUHAKAM telah memberikan maklum balas atas draf Modul Exemplar tersebut. Delegasi SUHAKAM yang diketuai oleh Pesuruhjaya Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh telah menyampaikan maklum balas dan cadangan SUHAKAM, antaranya berkaitan maksud yang tepat tentang hak dan tanggungjawab serta maklumat berkenaan konvensyen hak asasi manusia antarabangsa. Mereka turut berkongsi bahan promosi SUHAKAM berkenaan hak asasi manusia. Selain itu, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) KPM yang merupakan pihak yang mengetuai Pembangunan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni Murid Semasa Perhimpunan telah mengadakan perbincangan dengan SUHAKAM pada 3 Januari. Program Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan kemudiannya telah diperkenalkan di sekolah bermula bulan Jun. Pada 13 Ogos, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan program Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan. SUHAKAM telah dijemput ke majlis pelancaran tersebut. Pencapaian yang membanggakan bagi SUHAKAM adalah apabila sebahagian bahan maklumat dan input yang diberikan oleh SUHAKAM telah diintegrasikan ke dalam Modul Exemplar sebagai bahan rujukan dan bacaan. Pada 27 November, SUHAKAM telah bertemu dengan pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi memastikan bakal guru mempunyai pengetahuan hak asasi manusia yang menyeluruh, sejajar dengan aspirasi KPM. Hasil mesyuarat tersebut mendapati kedua-dua pihak telah bersetuju agar SUHAKAM dilibatkan dalam kajian semula silibus IPG yang akan dijalankan pada awal tahun hadapan serta bekerjasama untuk membangunkan modul hak asasi manusia bagi pendidik.

Select target paragraph3