2 LAPORAN TAHUNAN 2019 1.1 PENDIDIKAN DAN PROMOSI LATAR BELAKANG SUHAKAM terus mewujudkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat awam serta menyediakan program pembangunan kapasiti untuk pelbagai peringkat di Malaysia. SUHAKAM juga telah mencapai beberapa kemajuan positif berkenaan dengan visinya tentang hak asasi manusia agar diajar dan diamalkan di sekolah. Program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (ATHAM) di sekolah telah diperluaskan ke 246 buah sekolah di seluruh Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang terlibat adalah 468 buah. SUHAKAM bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut sama membangunkan dan melancarkan dua modul hak asasi manusia untuk murid UPSR dan PT3. SUHAKAM juga terlibat dalam kajian KPM tentang Dasar Pendidikan Kebangsaan. Di samping itu, keterlibatan dengan institusi latihan tempatan, universiti, sektor swasta, kerajaan dan agensi penguatkuasaan telah dilaksanakan serta menunjukkan perkembangan dan pelaksanaan yang positif dengan pertambahan bilangan sesi latihan hak asasi manusia untuk pelatih, bengkel pembangunan kapasiti kempen hak asasi manusia dan modul latihan. Selain itu, SUHAKAM mengukuhkan penglibatan dan perkongsian dengan pihak berkuasa agama dengan tujuan meningkatkan pengetahuan awam tentang prinsip yang saling berkait antara agama dan hak asasi manusia. SUHAKAM terus mendekati masyarakat akar umbi dan golongan rentan melalui platform SUHAKAM Bersama Masyarakat (SBM) yang mana SUHAKAM dapat berinteraksi secara langsung dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang seperti Orang Asli/Asal, petani, pekerja ladang, nelayan dan orang kurang upaya.

Select target paragraph3