xx
LAPORAN TAHUNAN 2019
Pejabat Sarawak. Aduan tersebut merangkumi kewarganegaraan
kanak-kanak, pendaftaran lewat kelahiran atau kad pengenalan
untuk penduduk di kawasan luar bandar, serta kanak-kanak yang ibu
mereka adalah warga asing. SUHAKAM turut mengalu-alukan pindaan
Kanun Tanah Sarawak pada 2018. Adalah penting untuk mempunyai
undang-undang tanah yang lebih adil bagi menghalang ketidakadilan
yang dialami oleh masyarakat Orang Asal yang tidak mempunyai
akses kepada pengetahuan dan undang-undang tetapi terpaksa
terlibat dalam proses litigasi untuk menuntut hak mereka. Keadaan ini
akan membuka jalan bagi masyarakat Orang Asal untuk meneruskan
tuntutan hak NCR mereka dengan lebih jelas dan yakin, berbanding
perlu mengharungi ujian semakan kehakiman.
Bagi masyarakat Orang Asli pula, antara masalah yang sering dihadapi
adalah kekurangan akses kepada air bersih, pembukaan ladang di
sekitar kawasan penempatan dan pencerobohan tanah, dan kesulitan
dalam mengakses perkhidmatan kesihatan dan pendidikan untuk
kanak-kanak. SUHAKAM meneruskan penglibatan bersama Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Waytha Moorthy Ponnusamy dan
JAKOA untuk mencari perpaduan dan penyelesaian terhadap isu yang
memberi kesan kepada Orang Asli, terutamanya yang melibatkan
beberapa peristiwa tragis seperti kes kematian. Di samping itu,
SUHAKAM juga ingin menekankan mengenai suara penduduk kampung
yang sering membangkitkan isu akses kepada air bersih semasa
program SUHAKAM Bersama Masyarakat yang diadakan di kawasan
luar bandar.
SUHAKAM mengadakan beberapa lawatan ke depot tahanan
imigresen dan mendapati kebanyakkan depot tahanan ini tidak sesuai
dan tidak mempunyai kemudahan untuk memenuhi keperluan kanakkanak. SUHAKAM dan CSO menyokong keperluan untuk mengenalpasti
dan melaksanakan alternatif kepada penahanan kanak-kanak.
SUHAKAM mengesyorkan agar SOP yang berkaitan dengan penahanan
kanak-kanak perlu dipertingkatkan, dan memulakan projek perintis di
mana kanak-kanak ini diletakkan di bawah penjagaan masyarakat
atau tempat perlindungan di bawah badan bukan kerajaan.
Terdapat beberapa laporan kejadian yang berkaitan dengan
sekolah tahfiz sepanjang tahun ini, termasuk kematian pelajar dalam
kebakaran dan dakwaan penderaan fizikal dan seksual. Susulan itu,
SUHAKAM telah melawat beberapa sekolah tahfiz untuk memahami
permasalahan mereka. SUHAKAM juga bekerjasama dengan jabatan