Bab 1 - Laporan Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam
II. BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM
Seorang kanak-kanak, seorang guru, sebatang pen
dan senaskhah buku mampu mengubah dunia.
Pendidikan adalah satu-satunya jalan penyelesaian.
Dahulukan pendidikan.
Malala Yousafzai
Aktivis Pakistan untuk pendidikan bagi wanita dan Penerima Hadiah Nobel
Suruhanjaya mengekalkan kerjasama berterusan dengan pelbagai pihak berkepentingan
termasuklah agensi Kerajaan, institusi hak asasi manusia nasional (NHRI), badan bukan
Kerajaan (NGO), agensi PBB, institusi pengajian tinggi dan media.
Sepanjang tahun, Suruhanjaya telah mengadakan tiga acara utama, iaitu pengumuman awam
Laporan Tahunan 2013, majlis Anugerah Hak Asasi Manusia kali keempat dan sambutan Hari
Hak Asasi Manusia Sedunia.
Suruhanjaya terus menghebahkan pandangannya mengenai isu hak asasi manusia yang
menimbulkan pertikaian, dengan memberi kenyataan media (lihat Lampiran I), mengadakan
sidang media, memberi maklum balas terhadap pertanyaan media, serta penglibatan dalam
wawancara media.
1. PENGUMUMAN AWAM LAPORAN TAHUNAN SURUHANJAYA 2013
Pada 25 April, Suruhanjaya telah mengadakan sidang media berkenaan pengumuman awam
Laporan Tahunan Suruhanjaya 2013. Antara isu utama yang dibangkitkan oleh pihak media
adalah berkenaan dengan Laporan Inkuiri Nasional oleh Suruhanjaya, aduan yang diterima
sepanjang tahun 2013, kematian dalam tahanan, lawatan berkala Suruhanjaya ke pusat tahanan
dan perkembangan terbaru penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen Tetap Mengenai Hak
Asasi Manusia.
Pada 27 November, Suruhanjaya juga telah mengadakan dua sesi dialog bersama agensi
Kerajaan yang berkaitan untuk membincangkan Maklum Balas Kerajaan terhadap isu dan
cadangan yang terkandung dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya. Sesi pertama dihadiri oleh
35 orang wakil dari Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU),
PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri (KLN), Jabatan Peguam
Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian
Kesihatan dan JAKOA.
29