Isu-Isu Utama Seterusnya, Suruhanjaya mengambil maklum dan menyokong inisiatif Kerajaan untuk meminda ATIPSOM. Suruhanjaya maklum bahawa semasa sesi dialog yang diadakan pada bulan September, Kerajaan telah mencadangkan untuk meminda ATIPSOM bagi membenarkan Rumah Perlindungan NGO untuk beroperasi sebagai tempat perlindungan kepada individu yang menjadi mangsa pemerdagangan dan untuk memperluaskan kriteria untuk melantik Pegawai Pelindung. Cadangan Kerajaan untuk membenarkan “mana-mana orang yang sesuai” termasuk ahli NGO, untuk dilantik sebagai Pegawai Pelindung, Suruhanjaya mengesyorkan agar Akta ini hendaklah mengehadkan dan menetapkan kriteria bagi terma “mana-mana orang yang sesuai” untuk mengelakkan penyalahgunaan peruntukan itu. (e) Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 mula berkuatkuasa pada 1 April 2014. Walaupun telah dipinda, Suruhanjaya melihat Akta ini masih bersifat terkebelakang dan tidak konsisten dengan prinsip hak asasi manusia sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Suruhanjaya khususnya bimbang mengenai peruntukan yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan penafian hak seseorang untuk mendapatkan akses kepada peguam dan kepada perbicaraan yang adil, serta dianggap sebagai tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya mengikut undang-undang di dalam perbicaraan terbuka. Walaupun mengambil maklum jaminan Kerajaan bahawa pindaan Akta ini akan hanya digunakan sebagai pilihan terakhir dan sesiapa yang ditahan di bawah Akta ini akan diberikan kaunseling, adalah penting bagi Kerajaan untuk menterjemahkan jaminan tersebut ke dalam peruntukan undang-undang bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Akta serta pemulihan tahanan oleh pihak berkuasa yang berkaitan. 17

Select target paragraph3