Isu-Isu Utama (a) Akta Hasutan 1948 Suruhanjaya sesal dengan keputusan Kerajaan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dan cadangan untuk mengukuhkannya dengan peruntukan tambahan, walaupun akujanji Kerajaan pada 2012 untuk memansuhkan undang-undang yang bersifat menindas dan kuno ini. Walaupun Suruhanjaya memahami kerumitan untuk menyeimbangkan di antara kebebasan dan keselamatan, serta mengakui bahawa pelaksanaan kebebasan bersuara tertakluk kepada sekatan yang telah termaktub oleh undang-undang, namun sekatan tersebut hendaklah seimbang, berkadaran, jelas dan adil; terutama sekali ianya hendaklah selari dengan norma antarabangsa mengenai hak kepada kebebasan bersuara dan berucap. Suruhanjaya seterusnya menggalakkan agar pihak Kerajaan memastikan bahawa pindaan kepada undang-undang sedia ada atau pengenalan kepada undang-undang baru hendaklah berdasarkan penglibatan penuh dan konsultasi yang bermakna bersama semua pihak berkepentingan yang terbabit dengan cara yang adil, jelas dan mematuhi proses yang sewajarnya, serta tidak tergesa-gesa. (b) Rang Undang-undang Jenayah Kebencian Kaum dan Agama Suruhanjaya mengambil maklum bahawa draf Rang Undang-undang ini akan menjadikan perlakuan menghasut kebencian kepada agama dan bangsa sebagai satu kesalahan. Penglibatan dalam tingkah laku yang bertujuan untuk membawa kebencian dan menghina Raja juga dijadikan kesalahan di bawah draf Rang Undang-undang ini. Walaupun niat draf rang undang-undang ini dilihat selaras dengan Artikel 4 Konvensyen Antarabangsa Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) dan Artikel 20 Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), yang mewajibkan Negara Peserta untuk menganggap apa-apa sokongan “kebencian nasional, kaum atau agama yang merupakan hasutan untuk mendiskriminasi, permusuhan atau keganasan”, Suruhanjaya menyeru agar Kerajaan dapat memastikan bahawa skop undang-undang tersebut adalah terhad dengan tegas terhadap hukuman jenayah kebencian dan tidak kepada individu yang menyatakan rasa tidak puas hati secara sah atau menjalankan hak mereka untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka. (c) Rang Undang-undang Penyelarasan dan Keharmonian Nasional Sepertimana yang diperkatakan, bahawa rakyat Malaysia menjadi semakin berpecah belah, serta cenderung untuk bersama-sama dengan individu dari latar belakang bangsa yang serupa. Sebagai kesimpulan yang menyatakan bahawa walaupun rakyat Malaysia hidup bersama-sama secara aman, ini hanyalah didorong oleh toleransi semata-mata dan bukanlah perpaduan. Suruhanjaya berpendapat yang perpaduan, sama seperti kepercayaan, perlu dipupuk dari usia muda. Memupuk perpaduan memerlukan komitmen bersama daripada semua peringkat masyarakat. Sokongan institusi adalah amat penting untuk perpaduan. Peranan dan contoh yang diberikan oleh ibu bapa dan guru merupakan wadah di mana perpaduan itu disemai dan dipupuk. Peranan guru-guru dan ibubapa sangat mustahak dalam memupuk perpaduan. 15

Select target paragraph3