Isu-Isu Utama
10. DEKLARASI HAK ASASI MANUSIA ASEAN
Suruhanjaya mengalu-alukan penerimaan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) pada
Sidang Kemuncak Serantau di Kemboja pada 18 November sebagai satu perkembangan positif
dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. Walaupun Suruhanjaya berpuas hati
kerana AHRD merangkumi ruang lingkup hak asasi manusia yang mana kesemuanya selaras
dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, namun ia bimbang bahawa Negara Anggota
dibenarkan untuk mengambilkira latar belakang politik, ekonomi, undang-undang, sosiobudaya dan sejarah mereka dalam merealisasikan hak asasi manusia di negara masing-masing.
Oleh kerana peruntukan ini, yang mungkin melemahkan semangat keseluruhan Deklarasi dan
menafikan perlindungan hak asasi manusia sepenuhnya di seluruh rantau ini, perakuan AHRD
bahawasanya semua hak asasi manusia adalah sejagat, tidak terbahagikan, saling berkaitan
dan saling bergantung adalah tidak begitu meyakinkan.
Selaras dengan visi ASEAN untuk Komuniti ASEAN menjelang 2015, Suruhanjaya berharap
bahawa Suruhanjaya antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia dapat memainkan
peranan lebih aktif dan mendalam sebagai mekanisme hak asasi manusia serantau terutamanya
dengan mewujudkan hubungan yang lebih bermakna dengan pihak berkepentingan khususnya
Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI) dan organisasi-organisasi masyarakat sivil untuk
membincangkan isu-isu yang menjadi kebimbangan bersama.
11. CADANGAN PINDAAN AKTA SURUHANJAYA
Bagi memastikan bahawa penjara dan tempat-tempat tahanan mematuhi prinsip-prinsip
hak asasi manusia, adalah penting bagi Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk mengadakan
lawatan mengejut ke tempat-tempat ini. Oleh itu, Suruhanjaya telah mengemukakan syor
kepada Kerajaan supaya Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 dipinda bagi
membenarkan Suruhanjaya menjalankan lawatan ke penjara dan tempat-tempat tahanan
tanpa notis terlebih dahulu, sepertimana keperluan sedia ada untuk berbuat demikian.
12. RATIFIKASI INSTRUMEN
ANTARABANGSA
TERAS
HAK
ASASI
MANUSIA
Kerajaan masih lagi tidak membuat sebarang langkah konkrit untuk menyertai enam lagi
instrumen hak asasi manusia antarabangsa. Malaysia hanya telah menyertai tiga instrumen
iaitu - CEDAW, CRC dan CRPD. Suruhanjaya akan terus menggesa Kerajaan untuk meratifikasi
ICCPR, Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, CAT, Konvensyen
Antarabangsa Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman, Kovenan
Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Asasi Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga
Mereka, dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Semua Orang daripada Hilang
secara Paksa. Semua ini adalah instrumen penting untuk menunjukkan komitmen negara
ke arah membasmi kemiskinan, melindungi hak-hak sosio-ekonomi, meningkatkan maruah
manusia dan menggalakkan hak-hak sivil dan politik rakyat.
24