Isu-Isu Utama (d) Hukuman Mati Suruhanjaya mengulangi semula seruannya untuk memansuhkan hukuman mati dan menekankan pendiriannya bahawa hukuman tersebut dianggap sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah. Suruhanjaya mengalu-alukan cadangan untuk mengkaji semula dan pada akhirnya memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah dan untuk membenarkan budi bicara mahkamah dalam menentukan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan tersebut. Suruhanjaya telah secara konsisten menyeru Kerajaan untuk mengenakan moratorium ke atas hukuman mati atau menggantikan bentuk hukuman dengan penjara seumur hidup terutama bagi mereka yang telah menunggu hukuman mati selama lebih daripada lima tahun. Di samping itu, Suruhanjaya menyeru Kerajaan untuk mempertimbangkan Peraturan Minimum Standard Antarabangsa bagi Layanan terhadap Tahanan, bagi memastikan kesejahteraan banduan, termasuk mereka yang dikenakan hukuman mati. Suruhanjaya akan terus menyokong Kerajaan dalam usahanya untuk merealisasikan pematuhan penuh dengan prinsip-prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa, khususnya UDHR. Suruhanjaya menyatakan kesediaannya untuk terlibat dalam rundingan berhubung kepada reformasi perundangan yang berkaitan dengan pemansuhan hukuman mati. 3. HAK KEBEBASAN BERSUARA DAN MEMPEROLEH MAKLUMAT Hak kepada kebebasan bersuara membolehkan setiap orang menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing yang mana ia merupakan asas demokrasi. Hak ini, serta kebebasan memperoleh maklumat, adalah penting untuk penglibatan orang awam dalam membuat keputusan. Hak ini adalah seiring dengan hak kebebasan berhimpun dan berpersatuan. (a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012 Pada tahun ini, pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telah menggugurkan budi bicara mutlak Menteri berkenaan pengeluaran permit atau lesen bagi operasi percetakan dan penerbitan bahan-bahan cetakan berkala. Satu lagi pindaan memansuhkan keperluan memperbaharui permit atau lesen tersebut secara tahunan, sebaliknya membenarkan permit atau lesen berkenaan kekal sah sehingga dibatalkan. Penubuhan Majlis Media juga turut disyorkan untuk menegakkan amalan kewartawanan yang beretika. Ini adalah langkah progresif ke arah menghormati sepenuhnya hak kebebasan memperoleh maklumat. Suruhanjaya mengalu-alukan pemulihan proses semakan kehakiman yang membolehkan keputusan Menteri dicabar di mahkamah. Ini menegaskan betapa pentingnya doktrin sekatan dan imbangan dalam sistem pentadbiran. Bagaimanapun, Suruhanjaya mengulangi semula bahawa pembaharuan tidak harus dihadkan untuk menangani perkaraperkara prosedur. Undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara mesti dikaji dan hak untuk mengakses maklumat mesti dilindungi. 15

Select target paragraph3