RINGKASAN EKSEKUTIF
Beberapa pembaharuan undang-undang telah dimulakan dan diperkenalkan sepanjang tahun
ini. Kerajaan telah mengambil tindakan terhadap seruan dari pelbagai segmen masyarakat
seperti kumpulan masyarakat sivil, akademik, individu dan media yang menggesa agar hak-hak
sivil, politik, ekonomi dan sosial diberi penghormatan. Sebahagian daripada hasil yang dapat
dilihat adalah pemansuhan atau pindaan undang-undang yang bercanggah dengan prinsip
teras hak asasi manusia.
Suruhanjaya terutamanya menghargai pembatalan tiga Perisytiharan Darurat, pemansuhan
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad
1933; serta pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Polis 1967 dan Akta
Universiti dan Kolej Universiti 1971. Walaupun Suruhanjaya mengalu-alukan penggubalan
Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Keselamatan Kesalahan (Langkah-Langkah Khas)
2012, ia mengambil perhatian isu-isu tertunggak mengenai beberapa peruntukan yang perlu
diselesaikan.
Suruhanjaya menyeru Kerajaan supaya memastikan isu-isu yang melibatkan hak-hak kumpulan
rentan diberi perhatian sewajarnya dan mengambil kira, khususnya isu-isu yang berkaitan
dengan kanak-kanak, wanita, Orang Asal/Asli (OA), Orang Kurang Upaya, kumpulan orientasi
seksual dan identiti gender, pekerja migran, pencari suaka dan pelarian.
Sehubungan ini, Suruhanjaya menyeru Kerajaan supaya memastikan penguatkuasaan undangundang mematuhi prinsip-prinsip hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan, dan seperti yang diperjuangkan oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat
dan perjanjian teras hak asasi yang mana Malaysia menjadi ahlinya.
Dalam menyusun semula organisasi dalaman, Suruhanjaya telah membentuk tiga kumpulan
yang tersendiri untuk memastikan kesedaran sepenuhnya tentang mandat yang dinyatakan
dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999:
•
Bahagian Pendidikan dan Promosi, Perhubungan Awam dan Penerbitan kini di bawah
Kumpulan Pendidikan dan Perhubungan Awam;
•
Kumpulan Kerja Pembaharuan Undang-undang dan Triti Antarabangsa, Kumpulan
Kerja Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan; dan Jawatankuasa Isu dan Kerjasama
Antarabangsa membentuk Kumpulan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar;
•
Bahagian Aduan dan Siasatan diletak di bawah Kumpulan Aduan, Pemantauan dan
Siasatan.
7