Perutusan Pengerusi
Mereka mampu dan sewajarnya memainkan peranan sebagai pejuang hak asasi manusia yang
menyumbang kepada pembentukan budaya hak asasi manusia yang bertolak ansur dan saling
memahami, bagi mengatasi penindasan hak asasi manusia. Sehubungan itu, Suruhanjaya
berharap media arus perdana dapat memberi lebih sokongan kepada promosi dan perlindungan
hak asasi manusia dengan menyediakan ruang untuk kenyataan akhbar Suruhanjaya, yang
seringkali disiarkan secara selektif, dan kebanyakannya melalui media alternatif.
Suruhanjaya ambil maklum dan menghargai maklum balas agensi kerajaan yang berkaitan
terhadap Laporan Tahunannya yang terdahulu yang telah memberikan peluang kepada
Suruhanjaya untuk menilai komitmen Kerajaan dalam memperbaiki situasi hak asasi
manusia. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya berpandangan bahawa Laporan Tahunannya
perlu dibincangkan sepenuhnya di Parlimen bagi membolehkan pertukaran pandangan yang
lebih luas di kalangan Ahli Parlimen yang dapat menyumbang secara konstruktif ke arah
penggubalan undang-undang dan polisi yang bersesuaian untuk kepentingan masyarakat
Orang Asal/Asli di negara ini. Suruhanjaya berharap agar Laporan Tahunan ke 12 ini akan diteliti
dan dibahaskan oleh Ahli Parlimen. Suruhanjaya masih berpendirian bahawa perbahasan isu
hak asasi manusia di Parlimen, termasuk isu yang dibangkitkan dalam Laporan Tahunan ini
adalah penting, malah perlu, untuk negara mencapai demokrasi yang matang dan berfungsi
sepenuhnya sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.
Sementara menunggu perbahasan di Parlimen, Suruhanjaya berharap Laporan ini dibincangkan
oleh Jawatankuasa Pemilih Tetap Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia yang bakal
ditubuhkan Kerajaan. Suruhanjaya menyambut baik tindakan ini sebagai satu perkembangan
positif proses demokratik berparlimen. Adalah diharapkan setidak-tidaknya, sesetengah isu
yang diketengahkan dalam Laporan Tahunan ini dapat diberi perhatian dan dibahaskan oleh
Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan
Pesuruhjaya, iaitu Naib Pengerusi Datuk Dr Khaw Lake Tee, Prof Emeritus Dato’ Dr Mahmood
Zuhdi Hj Ab Majid, Encik Muhammad Sha’ani Abdullah, Encik James Nayagam, Encik Detta
Samen dan Puan Jannie Lasimbang atas komitmen dan sumbangan mereka yang turut sama
menggalas tanggungjawab Suruhanjaya dalam melaksanakan mandatnya. Saya juga ingin
merakamkan penghargaan kepada Datuk Dr Khaw Lake Tee atas keupayaan beliau menerajui
Jawatankuasa Laporan Tahunan dalam penyediaan Laporan ini.
Dengan penyerahan Laporan Tahunan ini kepada Ahli Parlimen, dan orang ramai, Suruhanjaya
percaya di sebalik kekangan dan sekatan yang ditempuhinya, ia telah menjalankan tugas dan
tanggungjawabnya sebaik mungkin. Akhir sekali, terpulanglah kepada rakyat Malaysia, yang
mana Suruhanjaya ditubuhkan untuk berkhidmat, untuk membuat penilaian secara objektif
berhubung tugasnya sebagai institusi hak asasi manusia nasional.
TAN SRI HASMY AGAM
Pengerusi
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
6