Perutusan Pengerusi
Penglibatan Pihak Berkepentingan
Suruhanjaya berasa gembira apabila tugas dan mandatnya kini lebih dihargai. Namun, masih
terdapat segelintir pihak yang terus melihat Suruhanjaya sebagai sebuah NGO yang sentiasa
mengkritik Kerajaan, sementara sebilangan lain pula percaya ianya sebahagian daripada
Kerajaan. Perlu diulangi semula bahawa Suruhanjaya ditubuhkan untuk memainkan peranan
sebagai pelengkap kepada peranan Kerajaan. Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan
mandatnya, Suruhanjaya perlu bersuara dan menyuarakan mengenai isu atau perkembangan
yang dirasakan mencabul hak asasi manusia atau benar-benar menghalang promosi hak asasi
manusia. Sebagai sebuah institusi hak asasi manusia nasional yang ditubuhkan atas arahan
PBB, Suruhanjaya diharapkan dapat bertindak secara objektif, seimbang dan profesional,
melontarkan kritikan atau pujian sebagaimana sepatutnya dan sekiranya sesuai, dan menjadi
penghubung antara Kerajaan dan orang awam, dalam mempromosi dan melindungi hak asasi
rakyat melalui sokongan dan kerjasama semua pihak berkepentingan.
Terdapat segelintir pihak mengkritik Suruhanjaya tidak mempunyai kuasa dan tidak mampu
melaksanakan cadangan dan syornya. Hal ini berkaitan dengan isu memperkasakan Suruhanjaya
yang masih berterusan. Oleh itu, Suruhanjaya akan meneruskan usaha meyakinkan Kerajaan
memberi kuasa tambahan dan mandat yang lebih luas melalui pindaan Akta 597, dengan
harapan usaha ini akhirnya akan membuahkan hasil positif. Sementara itu, Suruhanjaya akan
terus menjalankan mandatnya dengan berkesan di bawah Akta sedia ada.
Bagi mendorong minat yang lebih mendalam mengenai isu hak asasi manusia di kalangan
orang ramai, dan bagi mengiktiraf individu dan organisasi, serta pengamal media yang telah
memberikan sumbangan penting kepada perlindungan dan promosi hak asasi manusia,
Suruhanjaya telah memperkenalkan Anugerah Hak Asasi Manusia yang diadakan setiap tahun
bersempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia. Anugerah ini telah diterima baik oleh orang
ramai yang percaya ianya satu cara yang sesuai dalam menunjukkan pengiktirafan masyarakat
terhadap sumbangan yang layak menerimanya.
Jelas sekali, pendidikan hak asasi manusia memainkan peranan penting dan utama dalam
promosi dan perlindungan hak asasi manusia. Ianya penting, bukan sekadar mewujudkan
kesedaran dan kefahaman mengenai prinsip dan norma hak asasi manusia sejagat untuk semua
lapisan masyarakat, tetapi juga memupuk toleransi sifar terhadap segala bentuk penindasan
hak asasi manusia. Lebih banyak usaha perlu dibuat bagi memastikan maklumat mengenai hak
asasi manusia disebarkan secara menyeluruh dan sama rata, dan bukannya bersifat selektif.
Dalam meluaskan skop pendidikan termasuk pemahaman berhubung hak asasi manusia,
Suruhanjaya telah menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dengan
melibatkan lebih banyak sekolah menengah dalam program hak asasi manusia. Suruhanjaya
tetap percaya akan kepentingan menerapkan nilai-nilai hak asasi manusia pada usia yang awal
dan berharap untuk meyakinkan Kementerian Pelajaran dan Kerajaan agar memperkenalkan
hak asasi manusia sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah rendah - seperti yang
dilakukan di beberapa negara termasuklah negara di rantau ini - agar budaya toleransi, saling
menghormati dan persefahaman boleh dipelajari di sekolah.
Orang awam dan media turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya; sehubungan
itu Kerajaan perlu mendekatkan diri melalui penglibatan dan dialog dengan golongan ini.
5