PERUTUSAN PENGERUSI Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar buat Malaysia susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia kerana ia bukan sahaja menjadi tajuk utama perbincangan dalam kalangan rakyat Malaysia bahkan memberi kesan kepada ekonomi dan sosial secara keseluruhan. Sebelum pandemik berlaku lagi, pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia masih belum dapat ditangani sepenuhnya, antaranya melibatkan isu kemiskinan, akses kepada keperluan asas bagi masyarakat rentan, beberapa undangundang yang menyekat hak asasi manusia secara tidak seimbang seperti kebebasan bersuara dan media, serta pembaharuan lain berkaitan hak asasi manusia yang disyorkan oleh SUHAKAM saban tahun. Ironinya pandemik ini sebenarnya memburukkan lagi keadaan sedia ada. Pandemik COVID-19 bukan sahaja meragut nyawa malah memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat seperti penutupan perniagaan, kehilangan pekerjaan dan akses kepada keperluan asas sebagai contoh penjagaan kesihatan dan pendidikan. Keadaan ini juga memburukkan lagi keadaan ketidaksaksamaan sedia ada dan masalah yang dihadapi golongan seperti orang asli/asal, penduduk miskin bandar, masyarakat luar bandar, orang tanpa kewarganegaraan, pelarian dan pencari suaka, pekerja migran dan tanpa dokumen. Pada masa yang sama, perubahan Kerajaan Persekutuan pada bulan Februari 2020 dan ketidaktentuan politik mengeruhkan lagi keadaan dalam negara. Bagi membendung pandemik, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah drastik termasuklah penutupan sempadan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pemeriksaan kesihatan pula diwajibkan di setiap pintu masuk negara dan tempat awam. Selain itu kerajaan turut menawarkan ujian saringan COVID-19 dan rawatan percuma kepada orang tanpa kewarganegaraan. Belanjawan tambahan turut diperuntukkan bagi meningkatkan keberkesanan mengatasi pandemik seperti perolehan peralatan dan perkhidmatan perubatan bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan yang meningkat. Seawal pelaksanaan PKP, SUHAKAM tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana tidak dianggap sebagai “perkhidmatan penting” di bawah PeraturanPeraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- viii LAPORAN TAHUNAN 2020

اختر الفقرة المستهدفة3