Kesannya rakyat kehilangan pekerjaan dan mata pencarian apabila ekonomi negara terjejas seterusnya menimbulkan kebimbangan kepada isi rumah yang tergolong dalam kumpulan B40 dan di bawah paras pendapatan garis kemiskinan. Akses kepada internet juga adalah tidak menyeluruh terutama bagi golongan miskin dan yang tinggal di kawasan pedalaman, hal ini menghalang akses kanak-kanak kepada pendidikan di pelbagai peringkat dalam tempoh PKP. Setiap golongan masyarakat berhadapan dengan kesan pandemik COVID-19 yang berbeza. Ia bergantung kepada faktor antaranya tempat tinggal, kestabilan kewangan dan akses kepada perlindungan khusus yang mana mampu mempengaruhi tahap risiko jangkitan pekerja barisan hadapan, golongan miskin, gelandangan, pelarian, migran dan banduan. Pandemik ini juga mendorong berlakunya isu perkauman dan xenofobia di Malaysia dan ia juga berlaku di seluruh dunia. Ucapan berunsur kebencian dan sikap menyalahkan pihak lain menyebabkan stigma dan tekanan kepada beberapa kelompok masyarakat. Amat membimbangkan, ketika tempoh PKP juga terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak. SUHAKAM memulakan inisiatif dengan Delegasi Kesatuan Eropah (EU) dan mencapai kesepakatan untuk melaksanakan projek selama 19 bulan bertajuk ‘Bertindak Balas terhadap COVID-19 dengan Memenuhi Keperluan Masyarakat Rentan di Malaysia’. Secara umumnya projek ini bertujuan membolehkan perkongsian maklumat, meningkatkan kapasiti organisasi masyarakat sivil dan menyelaras bantuan sebagai maklum balas secara langsung bagi meringankan isu hak asasi manusia ketika ini. Projek ini juga merangkumi pembangunan kapasiti/peningkatan kemahiran memfokuskan kepada latihan vokasional seperti keusahawanan pertanian bagi individu yang kehilangan sumber pendapatan semasa pandemik. SUHAKAM juga menyediakan tiga kertas dasar berkaitan hak asasi manusia yang perlu diberi perhatian serta tindak balas kerajaan Malaysia berhadapan pandemik COVID-19. Kertas dasar tersebut melibatkan hak sivil dan politik, kebebasan bersuara dan maklumat serta hak wanita di Malaysia. SUHAKAM turut memberikan input kepada proses merangka Rang UndangUndang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020. Syor tersebut merangkumi maklumat yang diperolehi melalui rundingan dengan pemegang taruh pada bulan April dan semakan SUHAKAM mengenai pelbagai undang-undang berkaitan perlindungan hak asasi manusia semasa COVID-19 dan PKP. xx LAPORAN TAHUNAN 2020

اختر الفقرة المستهدفة3