triti yang belum ditandatangani dan Deklarasi PBB Mengenai Hak Orang Asli/Asal (UNDRIP) dengan undang-undang tempatan. Penyelidikan yang dilakukan adalah dalam bentuk primer dan sekunder. Selain sorotan kajian, perunding penyelidik juga menjalankan undian dan tinjauan awam bagi mendapatkan perspektif masyarakat mengenai setiap triti. Pada 11 Jun, SUHAKAM telah menganjurkan dialog mengenai ‘Hak Asasi Manusia dan Tanpa Kewarganegaraan di Malaysia’ secara dalam talian. Program ini bertujuan untuk membincangkan, memahami dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi individu tanpa kewarganegaraan di Malaysia daripada segi hak ekonomi, sosial, dan kebudayaan. Oleh itu, SUHAKAM mengulangi seruan supaya kerajaan menyertai Konvensyen Mengenai Status Orang Tanpa Kewarganegaraan 1954, Konvensyen Mengenai Pengurangan Tanpa Kewarganegaraan 1961 dan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951. SUHAKAM juga menganjurkan dialog dalam talian mengenai ‘Hak Asasi Manusia dan Kemiskinan’ pada 22 September untuk membincangkan dengan lebih lanjut isu yang diketengahkan oleh Pelapor Khas PBB bagi Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof. Philip Alston, dikeluarkan pada tahun 2020 dan kesan COVID -19 terhadap pelbagai kumpulan rentan. Sepanjang tahun 2020, SUHAKAM menerima sejumlah 756 aduan iaitu 375 aduan diterima di Ibu Pejabat SUHAKAM Kuala Lumpur, 311 dan 70 aduan masing-masing melalui Pejabat Sabah dan Sarawak. Semasa tempoh PKP dan PKP Bersyarat (PKPB), pengadu digalakkan untuk mengemukakan aduan melalui telefon, e-mel dan sistem aduan secara dalam talian bagi menghadkan perjumpaan secara bersemuka. Hanya 142 kes daripada 517 kes keseluruhan dapat diselesaikan dan bakinya masih lagi dalam siasatan. Jumlah aduan tertinggi yang diterima adalah berkaitan dengan kewarganegaraan, tangkapan, tahanan dan buang negeri, kebebasan dan keselamatan diri, tindakan penyeksaan/layanan atau hukuman zalim dan kematian dalam tahanan. SUHAKAM turut mengadakan lawatan ke sembilan buah pusat tahanan seluruh negara. SUHAKAM mendapati kebanyakan pusat tahanan tersebut kekurangan kemudahan dan infrastruktur asas, malah terdapat pusat tahanan yang sesak. Ketika lawatan berkala ini, SUHAKAM turut menekankan agar PDRM menambah baik atau meminda prosedur operasi standard mengenai penahanan individu dalam lokap polis. LAPORAN TAHUNAN 2020 xv

اختر الفقرة المستهدفة3