RUMUSAN EKSEKUTIF
SUHAKAM sememangnya tidak bersedia dengan pandemik COVID-19
dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada bulan
Mac. Walaupun demikian, SUHAKAM bertindak pantas menyusun semula
strategi dan mengkaji semula pendekatan dan gerak kerja tahunan untuk
memastikan SUHAKAM dapat menjalankan operasinya.
Berdasarkan mandat pendidikan, SUHAKAM sedang merangka modul
latihan untuk Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Institut Pendidikan Guru bertujuan menginstitusi dan menambah baik
latihan hak asasi manusia di pelbagai agensi kerajaan. SUHAKAM juga telah
menganjurkan dua sesi latihan dalam talian kepada mahasiswa Universiti
Utara Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia. Topik latihan masing-masing
adalah mengenai isu pelarian dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) Menentang Penyeksaan dan Hukuman Lain yang Zalim, Tidak
Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT).
SUHAKAM terus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang UNCAT
dengan membangunkan aplikasi pendidikan animasi pada masa yang sama
menerbitkan buku kecil UNCAT dalam versi dwibahasa (Bahasa Melayu Inggeris) menggunakan dana daripada Kesatuan Eropah (EU). Tahun ini
sebanyak dua sesi SUHAKAM Bersama Masyarakat (SBM) berjaya dilaksanakan
iaitu sesi pertama melalui Siaran Langsung Facebook (Facebook Live) pada
22 Julai dan kedua pada 15 September secara bersemuka bersama pekerja
ladang di Batang Padang, Perak. Secara keseluruhannya, dana dari Kesatuan
Eropah adalah untuk tujuan menjalankan program dan aktiviti promosi dan
pendidikan hak asasi manusia.
SUHAKAM terus mengkaji aspek perundangan yang memberi kesan kepada
hak asasi manusia di Malaysia. Ini termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012, Peraturan Lokap 1953, Undang-undang AntiLompat Parti daripada perspektif hak asasi manusia, Akta Perlindungan
Pemberi Maklumat 2010 dan pindaan kepada Akta SUHAKAM 1999 [Akta 597].
Selain itu SUHAKAM turut bekerjasama dengan tujuh orang perunding
penyelidikan di bawah projek ‘Mempromosi Penyertaan Baki Triti Hak Asasi
Manusia Antarabangsa di Malaysia’ untuk menganalisis keserasian baki
xiv
LAPORAN TAHUNAN 2020