Bab 1 - Laporan Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam (iv) Beban Kerja Pelajar Sekolah agama yang berdaftar dengan KPM mengendalikan pembelajaran berdasarkan kurikulum kebangsaan dan kurikulum yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Pelajar SAR menduduki peperiksaan kebangsaan awam (PMR dan SPM) serta peperiksaan khas bagi pengajian agama yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Suruhanjaya berpendapat bahawa sistem ini terlalu membebankan kanak-kanak dan menafikan hak mereka untuk aktiviti rekreasi. (v) Aktiviti kokurikulum Kebanyakan sekolah tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk aktiviti rekreasi dan sukan, yang juga merupakan perkara yang tidak diberi keutamaan, khususnya bagi pelajar yang tinggal di asrama. Pelajar memerlukan peluang untuk bermain dan bersosial bagi tujuan pembangunan diri sepenuhnya, pembentukan sahsiah dan keyakinan diri. Memandangkan kebanyakan guru tidak dilatih secara profesional, mereka tidak mampu membimbing kanak-kanak ini menerusi aktiviti kokurikulum. (vi) Bantuan Kewangan dan bahan Kesemua sekolah yang dilawati telah menerima bantuan kewangan daripada KPM pada tahun 2011. Walau bagaimanapun, sehingga Oktober tahun ini, sekolah tersebut masih belum menerima sebarang bantuan kewangan. Dana ini bertujuan untuk urusan pentadbiran, infrastruktur, latihan guru dan kemudahan perpustakaan. Suruhanjaya telah dimaklumkan bahawa kanak-kanak yang belajar di SAR swasta terpaksa membayar yuran penuh bagi peperiksaan awam walaupun Kerajaan telah memansuhkan yuran ini bagi sekolah di bawah bidang kuasa KPM. Suruhanjaya juga dimaklumkan bahawa Bahagian Buku Teks hanya membekalkan bantuan buku ke sekolah yang berdaftar dengan KPM dan Jabatan Agama Islam Negeri. Pelajar di sekolah agama jenis lain perlu membeli buku teks meskipun Kerajaan mempunyai dasar berkaitan buku teks percuma. Isu ini membelenggu kebanyakan SAR yang dikendalikan oleh entiti bebas seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Hal Ehwal Agama Negeri, NGO, syarikat swasta dan individu. Suruhanjaya turut mengambil maklum bahawa walaupun terdapat beberapa sekolah yang berdaftar dengan KPM atau Kerajaan Negeri menerima dana, terdapat juga yang tidak memperolehi dana. Ada antaranya masih dalam proses pendaftaran. Suruhanjaya berpendapat bahawa bantuan yang diberikan kepada sekolah di bawah bidang kuasa KPM perlu diperluaskan kepada SAR, tanpa mengira status. Pertimbangan dan perhatian perlu diberikan kepada SAR bagi membolehkan pelajar berjaya dalam pendidikan dan kehidupan. 24

اختر الفقرة المستهدفة3