Bab 1 - Laporan Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam Suruhanjaya telah lama menyokong idea mengenai penyertaan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak memandangkan mereka mempunyai pengaruh terbesar dalam kehidupan anak mereka. Selain daripada saudara terdekat, masyarakat sekeliling juga memainkan peranan dalam perkembangan kanak-kanak. Oleh itu, kedua-dua kumpulan ini hendaklah bergiat aktif untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Semasa lawatan ke sekolah Orang Asli, Suruhanjaya mendapati sikap ibu bapa dan masyarakat jelas mempengaruhi kesinambungan pendidikan anak mereka. Kebanyakan ibu bapa menyedari kepentingan pendidikan dan sanggup berpisah dengan anak mereka yang terpaksa menginap di asrama disebabkan jarak sekolah yang agak jauh - seperti di Pos Gob dan Pos Hau di Gua Musang, Kelantan, dan Kampung Selaoh di Gerik, Perak. Suruhanjaya mengiktiraf kepentingan pertalian kekeluargaan kepada masyarakat Orang Asli. Berdasarkan tradisi dan budaya, ibu bapa lebih suka untuk tinggal berhampiran dengan anak mereka. (ii) Infrastruktur Pendidikan Hak kepada pendidikan berkualiti dan keselamatan kanak-kanak pada dasarnya merupakan tanggungjawab pihak Kerajaan. Suruhanjaya menghargai semua usaha yang telah dijalankan melalui pelbagai jabatan dalam menyediakan bantuan seperti pengangkutan dan penginapan asrama. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyediakan pengangkutan untuk kanak-kanak Orang Asli tetapi kebanyakan masanya, kenderaan yang disediakan tidak mencukupi atau tidak sesuai. Keadaan jalan raya di kawasan luar bandar juga perlu dipertingkatkan bagi membolehkan akses rutin ke sekolah. Suruhanjaya telah mengemukakan isu ini dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya 2012. Namun, masalah sedemikian masih berterusan seperti yang diperhatikan semasa lawatan ke beberapa sekolah seperti SK Tohoi di Gua Musang, serta SK Lenjang dan SK Senderut di Kuala Lipis, Pahang. Meskipun beberapa kenderaan baru dan bersesuaian telah disediakan di tempat ini, muatan yang berlebihan menimbulkan masalah serius terhadap aspek keselamatan. Sekolah seperti SK Betau, SK Lenjang dan SK Sendrut di Pahang, dan SK Pos Kemar di Perak, tidak mempunyai bilik darjah yang mencukupi dan komputer yang berfungsi serta telefon dan akses kepada Internet meskipun program VSAT telah dilaksanakan pada tahun 2004 dan program 1 BestariNet dilancarkan oleh KPM pada tahun 2011. Sekolah ini juga tidak mempunyai guru yang mencukupi terutamanya guru Bahasa Inggeris. SK Betau dan SK Pos Kemar telah dipilih sebagai Sekolah K9 yang akan menempatkan kanak-kanak Orang Asli dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3. Salah satu objektif program ini adalah untuk mengurangkan kadar keciciran dan ketidakhadiran ke sekolah. Walaupun ia merupakan program yang baik, Suruhanjaya berpendapat bahawa banyak lagi usaha boleh dilakukan. KPM perlu memastikan kemudahan yang mencukupi seperti bilik darjah, peralatan pengajaran dan pembelajaran, terutamanya bagi mata pelajaran vokasional, dan ruang di asrama dan kuarters guru. Sebagai contoh, lapan hingga sepuluh orang guru di SK Pos Kemar dan SK Lenjang tinggal di kuarters usang dengan kemudahan yang terhad. 21

اختر الفقرة المستهدفة3