Isu-Isu Utama 3. TRITI ANTARABANGSA Memandangkan Kerajaan masih belum menyertai enam lagi triti teras hak asasi manusia, Suruhanjaya telah mengadakan satu siri perbincangan mengenai kemungkinan penyertaan Malaysia terhadap tiga triti teras utama iaitu Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESCR), dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD). Suruhanjaya merujuk kepada komitmen Kerajaan yang dibuat semasa kitaran pertama UPR pada tahun 2009, bahawa ia akan mengambil langkah untuk menyertai empat triti - iaitu ICESCR, ICCPR, ICERD dan Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (CAT). Suruhanjaya menggesa agar Kerajaan mempercepatkan usahanya menerusi Jawatankuasa Tetap antara Agensi mengenai Hak Asasi Manusia yang telah ditubuhkan untuk mengkaji isu berkaitan. 4. HAK KEPADA PENDIDIKAN BAGI KANAK-KANAK BERMASALAH PEMBELAJARAN Walaupun Malaysia telah meratifikasi CRC dan CRPD, Suruhanjaya mendapati bahawa terdapat sebilangan besar Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran (CWLD) masih lagi tercicir daripada mendapatkan pendidikan rendah. Oleh itu, satu kajian telah dijalankan untuk menggalakkan kemasukan CWLD ke dalam pendidikan rendah yang berkualiti dan inklusif. Suruhanjaya turut menjalankan misi pemerhatian ke sekolah dan pusat yang dikendalikan oleh NGO. Beberapa kelemahan telah dikenalpasti di sesetengah sekolah kendalian Kerajaan dari segi ruang pembelajaran, kekurangan latihan dan peralatan untuk guru pendidikan khas, kekeliruan guru terhadap Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan kekurangan kemudahan bagi meningkatkan pembangunan fizikal dan emosi CWLD. Susulan daripada forum mengenai Hak kepada Pendidikan bagi CWLD yang telah diadakan di tiga kawasan, beberapa isu telah diutarakan iaitu: • Terdapat kekeliruan dalam kriteria kemasukan bagi program pendidikan khas, terutama sekali peranan agensi Kerajaan lain seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan. KPM seharusnya menghebahkan kepada orang ramai mengenai kriteria kemasukan tersebut dan memperbaiki kerjasama antara agensi. • Program pencegahan awal harus dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran integrasi CWLD ke dalam program pendidikan arus perdana. • Kerajaan perlu mempertingkatkan kemudahan di sekolah khas untuk memastikan ianya memenuhi keperluan CWLD, dan mendapatkan penaja korporat untuk bantuan sekiranya perlu. 11

اختر الفقرة المستهدفة3