Isu-Isu Utama (d) Rang Undang-Undang Kanun Prosedur Jenayah (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2013 Peruntukan yang telah diperkenalkan dalam Akta-Akta induk di atas bertujuan untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada saksi agar mereka dapat memberi keterangan tanpa mendedahkan identiti. Walaupun Suruhanjaya mengakui pentingnya keperluan melindungi saksi, ia bimbang bahawa hak seseorang tertuduh kepada perbicaraan yang adil mungkin akan mengalami prejudis apabila berdepan dengan peruntukan kerahsiaan tersebut. Tertuduh atau peguam mereka turut dinafikan akses kehakiman kepada saksi. Walaupun kedua-dua Rang Undang-undang tersebut telah ditarik balik oleh Parlimen bagi membolehkan pindaan-pindaan yang disyorkan diperhalusi, Suruhanjaya berharap agar ia akan dirujuk ketika proses kajian semula. 2. AKTA SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA 1999 Fungsi dan kuasa Suruhanjaya sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Nasional perlu diperkukuhan. Pada 2 Disember, Suruhanjaya telah mengemukakan sembilan syor bagi meminda akta penubuhannya kepada YB Hajah Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Suruhanjaya berharap Kerajaan akan memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas syor yang telah dikemukakan seperti berikut: • • • • • • • • • 10 Mengukuhkan proses pemilihan Anggota Suruhanjaya; Melantik Anggota Suruhanjaya sepenuh masa dan/atau separuh masa; Menambahkan tempoh masa lantikan Anggota Suruhanjaya; Membolehkan Suruhanjaya menjalankan lawatan mengejut dari semasa ke semasa ke tempat tahanan; Membolehkan Suruhanjaya menjalankan mediasi; Memformalkan proses konsultasi Kerajaan bersama Suruhanjaya dalam penggubalan dan pindaan undang-undang; Memastikan pemberian dana tahunan yang mencukupi kepada Suruhanjaya menerusi Parlimen; Membolehkan Suruhanjaya memainkan peranan sebagai amicus curiae dalam kes mahkamah yang membabitkan pencabulan hak asasi manusia; dan Memastikan Laporan Tahunan Suruhanjaya dibahaskan di Parlimen. Suruhanjaya merujuk kepada komitmen Kerajaan yang dibuat semasa kitaran pertama UPR pada tahun 2009, bahawa ia akan mengambil langkah untuk menyertai empat triti - iaitu ICESCR, ICCPR, ICERD dan CAT. Suruhanjaya menggesa agar Kerajaan mempercepatkan usahanya menerusi Jawatankuasa Tetap antara agensi mengenai Hak Asasi Manusia yang telah ditubuhkan untuk mengkaji isu berkaitan.

اختر الفقرة المستهدفة3