Isu-Isu Utama • Seksyen 15A menafikan seseorang individu yang terkilan menggunakan haknya untuk akses kepada Mahkamah dengan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya. Suruhanjaya mengesyorkan supaya Akta tersebut dikaji semula dengan mengambilkira prinsip hak asasi manusia berikut: • Penahanan tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya; • Penahanan mestilah berdasarkan alasan dan prosedur yang telah ditetapkan; • Maklumat berhubung sebab penahan perlu dimaklumkan kepada tahanan; dan • Hak kepada perbicaraan yang adil dan akses kepada khidmat guaman mesti dilindungi dan dipertahankan. (b) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 Suruhanjaya mengalu-alukan pindaan terhadap Kanun Keseksaan, terutamanya seksyen 326A, 352A, 375B, 376(2), 376B, 377CA dan 377E, yang memberi perlindungan kepada wanita dan kanak-kanak. Ini adalah satu langkah positif dalam melaksanakan tanggungjawab Kerajaan di bawah CEDAW dan CRC. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya berasa bimbang bahawa rogol dalam perkahwinan masih terus dikecualikan daripada definisi rogol di bawah seksyen 375 Kanun Keseksaan. Suruhanjaya mengulangi saranannya kepada Kerajaan supaya mengambil kira Artikel 16(1)(c) CEDAW dan Komen Kesimpulan No.22 oleh Jawatankuasa CEDAW, serta Artikel 2 Pengisytiharan PBB mengenai Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita, dengan menjatuhkan hukuman ke atas jenayah rogol dalam perkahwinan. Suruhanjaya turut mengambil berat tentang seksyen 203A yang menjadikan sebarang pendedahan atau kebocoron maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan negara sebagai satu kesalahan. Suruhanjaya berpendapat bahawa ini merupakan satu sekatan tambahan terhadap hak untuk memperoleh maklumat. Sehubungan itu, Suruhanjaya menyeru agar pihak berkuasa memastikan keseimbangan antara keselamatan negara dan hak individu. (c) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2013 Akta Pindaan itu memasukkan dua jenis kesalahan baru sebagai kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2013 (SOSMA) – iaitu berkaitan dengan jenayah terancang di bawah Bab VIB Kanun Keseksaan; dan mengenai penyeludupan migran di bawah Bahagian IIIA dalam Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Memandangkan SOSMA bertujuan untuk menangani aktiviti pengganas, Suruhanjaya berpendapat bahawa adalah lebih sesuai bagi tertuduh di dalam kes-kes berkaitan dengan jenayah terancang dan penyeludupan migran disiasat, didakwa dan dihukum di bawah undang-undang yang berkenaan. 9

اختر الفقرة المستهدفة3