Ringkasan Eksekutif LAPORAN KUMPULAN ADUAN, PEMANTAUAN DAN INKUIRI Bahagian Aduan dan Pemantauan telah menerima sebanyak 624 aduan. Buat pertama kali, aduan dianalisis mengikut aspek khusus hak asasi manusia yang didakwa telah dicabuli. Mekanisme pengendalian aduan telah dinaiktaraf untuk menjadi lebih mudah dan cekap. Selain itu, prosedur mengemukakan aduan turut dikaji semula termasuk penambahbaikan tempoh masa yang diambil untuk memberi maklum balas. Sebelum pengumuman awam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli di Malaysia (Laporan NI) pada bulan Ogos, Bahagian Inkuiri telah memberi taklimat kepada pihak berkepentingan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia berkenaan hasil dapatan laporan itu. Perjumpaan turut diadakan dengan pegawai kanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk membangkitkan isu berkaitan. Dalam mengerakkan kempen untuk menamatkan penahanan Imigresen terhadap kanakkanak, Bahagian ini telah mengadakan Perbincangan Meja Bulat (PMB) dalam mengenal pasti alternatif dan kecekapan prosedur. Satu PMB yang berasingan turut diadakan dalam mengekalkan tekanan untuk tindakan bagi kematian dalam tahanan. Isu berkaitan kebebasan berhimpun merupakan satu lagi perkara yang memerlukan perhatian. Bahagian ini juga telah memantau tiga perhimpunan awam iaitu ‘KL 112’, bantahan Anti-Lynas, dan demonstrasi terhadap cadangan pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah. LAPORAN KUMPULAN PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN DASAR Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Dasar telah memulakan penyelidikan ke atas dua kajian tematik berkenaan Hak kepada Pendidikan bagi Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran dan Hak Warga Emas – Perkhidmatan Jagaan kepada Warga Emas dan Sokongan kepada Penjaga. Sebagai sebahagian usahanya dalam meneruskan fokusnya terhadap Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, satu penyelidikan telah dijalankan ke atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh industri pembalakan dan perladangan; serta kesan terhadap hak asasi manusia yang mungkin terdapat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik. Bahagian ini juga telah memantau pelaksanaan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Hak KanakKanak (CRC) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD). Dalam jangkaan penyerahan Laporan Negara kepada Badan Triti berkenaan, Suruhanjaya telah menyiapkan Laporan Bebas mengenai CEDAW, dan pada masa Laporan Tahunan ini ditulis, Suruhanjaya sedang menyiapkan Laporan CRC dan CRPD masing-masing. Perbincangan telah diadakan bersama agensi Kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil mengenai kemungkinan penyertaan Malaysia kepada empat daripada sembilan triti teras hak asasi manusia iaitu Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESCR); Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR); Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (CAT) serta Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD). 6

اختر الفقرة المستهدفة3