Ringkasan Eksekutif
RINGKASAN EKSEKUTIF
Tahun ini Suruhanjaya telah merangka Pelan Kerja bagi mencapai objektif Pelan Strategik yang
merangkumi lima bidang tematik hak asasi manusia melibatkan Orang Asal, Kanak-Kanak
Bermasalah Pembelajaran, Warga Emas, Sektor Perniagaan dan Perjanjian Perdagangan
Bebas termasuklah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik. Ini merupakan aktiviti tambahan
kepada jadual aktiviti yang padat dalam menghargai dan menerima pakai hak asasi manusia
yang mencakupi seluruh lapisan masyarakat termasuk memulakan inisiatif baru bagi
memperluaskan skop pelaksanaan dan memberi maklum balas terhadap isu semasa yang
perlu ditangani.
Seperti biasa, Suruhanjaya bergantung kepada rakan sekutunya serta pembela hak asasi
manusia untuk membantu menyampaikan dua matlamat utamanya iaitu mempromosi dan
melindungi hak asasi manusia. Ia berinteraksi dengan Kerajaan dan agensinya, Badan Bukan
Kerajaan (NGO), Institusi Hak Asasi Manusia Nasional, wakil agensi Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB), badan profesional dan masyarakat akar umbi.
LAPORAN KUMPULAN PENDIDIKAN DAN PERHUBUNGAN AWAM
Bahagian Pendidikan dan Promosi telah meluaskan jangkauannya ke sekolah-sekolah melalui
perkongsian pintar yang berterusan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hasil
kerjasama tersebut, KPM telah menubuhkan satu jawatankuasa berhubung pelaksanaan
Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC). Ia juga bersetuju untuk menambah lagi
penyertaan 121 buah sekolah dalam program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di Sekolah
(ATHAM), menjadikan jumlah keseluruhannya 138 buah sekolah.
Program turut dilaksanakan untuk Sekolah Khas dan di bawah Program Pendidikan Khas
Integrasi untuk menarik perhatian guru tentang aspek hak asasi manusia.
Usaha yang sama juga diteruskan kepada guru kanak-kanak Orang Asli dan juga di Sekolah
Agama Rakyat. Kemuncak usaha sama Suruhanjaya dengan institusi pengajian tinggi awam
dan swasta dicapai apabila Universiti Malaya mengesahkan cadangan Suruhanjaya untuk
menubuhkan satu Pusat Hak Asasi Manusia di kampus.
Bahagian Perhubungan Awam telah meningkatkan pemahaman umum tentang hak asasi
manusia menerusi kenyataan media, wawancara dan maklum balas terhadap isu berkaitan
kepentingan awam. Terdapat penglibatan secara langsung dengan pihak berkepentingan
melalui beberapa program seperti pengumuman awam Laporan Tahunan Suruhanjaya 2012,
Pertandingan Booklet Hak Asasi Manusia di bawah Program ATHAM, Anugerah Hak Asasi
Manusia dan panel perbincangan bagi meraikan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.
5