Perutusan Pengerusi
Bagi empat tahun berturut-turut, Malaysia diletakkan di Kedudukan Kedua dalam Senarai
Pemerhati oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai pemerdagangan orang.
Kedudukan ini disebabkan oleh kekurangan kemajuan yang penting daripada pihak Kerajaan
dalam menangani pemerdagangan orang berbanding tahun sebelumnya. Sebagai ahli Majlis
Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Suruhanjaya telah terlibat secara
aktif dalam menyediakan input mengenai perkara seperti pemeriksaan tempat tinggal,
prosedur operasi standard serta tinjauan mengenai pengurusan risiko.
Berikutan pengumuman awam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal
di Malaysia (Laporan NI), Suruhanjaya telah merancang untuk mengambil inisiatif ke arah
pelaksanaan syor-syor yang terkandung dalam Laporan NI. Namun demikian, sebelum
Suruhanjaya dapat berbuat demikian, pihak Kerajaan mengumumkan keputusannya untuk
menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk mengkaji Laporan NI. Dalam mengalu-alukan
keputusan Kerajaan ini, Suruhanjaya telah menekankan pentingnya untuk pelaksanaan awal dan
efektif bagi syor-syor tersebut. Pada pandangannya, adalah penting untuk isu ini diselesaikan
secepat mungkin memandangkan ia telah berlarutan sekian lama dan menimbulkan
kekecewaan di kalangan Orang Asal.
Suruhanjaya mengekalkan profil yang tinggi dalam penglibatannya dengan badan hak asasi
manusia serantau dan antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antara perkembangan yang nyata adalah penglibatannya dalam
semakan kedua Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) Malaysia dan pelantikan sebagai Pengerusi
Forum Komanwel Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (CFNHRI).
Suruhanjaya percaya bahawa triti hak asasi manusia antarabangsa adalah rangka kerja
utama dalam mencerminkan komitmen Negara terhadap standard sejagat. Memandangkan
rekod Malaysia yang kurang memuaskan dalam menyertai triti teras hak asasi manusia
antarabangsa yang mana hanya menyertai tiga daripada sembilan instrumen PBB sehingga
kini, Suruhanjaya berpendapat perlunya untuk proses tersebut dipercepatkan. Kerajaan harus
memulakan usahanya dengan empat triti yang mana ia telah komited untuk menyertai semasa
kitaran pertama UPR iaitu Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik; Kovenan
Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan; dan Konvensyen Antarabangsa
mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman; dan Konvensyen Menentang
Penyeksaan, Hukuman Lain yang Zalim dan Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan
Maruah.
Memandangkan keahlian dan penglibatan aktif Malaysia dalam PBB dan agensinya seperti
HRC sehingga baru-baru ini dan usaha terkini dalam bertanding untuk mendapatkan keahlian
di Majlis Keselamatan PBB, Suruhanjaya berpendapat wujudnya alasan yang kukuh untuk
Malaysia menjadi negara contoh dalam menegakkan hak asasi manusia. Ini bukan setakat
untuk menghormati hak asasi manusia malahan untuk membantu Malaysia dalam aspirasinya
untuk mencapai status Negara maju menjelang akhir dekad ini.
Suruhanjaya sedar akan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam lingkungan hak asasi
manusia terutamanya tanggapan salah di kalangan sesetengah kumpulan bahawa hak asasi
manusia merupakan ‘agenda dorongan Barat’ dan seruan mereka agar Malaysia tidak tunduk
2