Modul Hak Asasi Pasca UPSR
MODUL HAK ASASI MANUSIA PASCA UPSR & PT3
Modul Hak Asasi Manusia Pasca UPSR dan Modul Hak Asasi Manusia Pasca PT3
dibangunkan oleh SUHAKAM dengan sokongan KPM, beserta input dari Bahagian
Pembangunan Kurikulum, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dan Bahagian
Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM.
Modul-modul aktiviti ini bertujuan memperkenalkan kepada murid, prinsip-prinsip dan
terma-terma hak asasi manusia termasuklah hak kanak-kanak seperti ‘kesaksamaan’
dan ‘tiada diskriminasi’. Pada masa yang sama, ia menekankan kesejagatan dan
hubung kait antara satu hak kepada hak yang lain. Modul-modul ini mengandungi
aktiviti-aktiviti praktikal yang bertujuan untuk mengajar murid tentang aplikasi hak
asasi manusia dengan mengambil kira konteks sosial dan kebudayaan Malaysia.
Pelaksanaan aktiviti-aktiviti di dalam modul-modul ini menggalakkan Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan peranan aktif daripada murid. Guru-guru hanya
perlu membimbing murid dengan memberikan objektif dan strategi setiap aktiviti,
serta prinsip-prinsip am berkaitan, manakala, murid dikehendaki menjalankan
kajian, mengolah pendapat, membuat pembentangan dan sebagainya. Oleh
yang demikian, penyertaan aktif dan pemerkasaan murid untuk mengenal pasti
isu dan penyelesaian yang mengambil kira prinsip-prinsip hak asasi manusia dapat
dilaksanakan.
Pengajaran dan pembelajaran modul-modul aktiviti ini diharap bukan sahaja
meningkatkan pengetahuan, tetapi juga membentuk keperibadian dan tingkah
laku murid yang memelihara hak kebebasan diri serta menghormati, membela dan
mempromosi hak asasi orang lain termasuklah keluarga, guru-guru, murid lain dan
masyarakat secara amnya.
PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MODUL HAK ASASI
MANUSIA
Sebagai permulaan, program ini diperkenalkan kepada guru dan murid bagi
peringkat Darjah 6 dan Tingkatan 3 dari sekolah-sekolah yang terlibat dalam Program
ATHAM. Modul-modul latihan ini akan dilaksanakan semasa tempoh selepas tamat
UPSR dan PT3 dan sebelum cuti sekolah akhir tahun. Walau bagaimanapun, SUHAKAM
berhasrat dan berharap agar modul-modul ini turut dapat diperkenalkan oleh guruguru dari darjah dan tingkatan yang lain.
Bagi merealisasikan hak penglibatan (right to participation) berterusan guru-guru
dan murid untuk menambah baik pelaksanaan modul-modul ini, SUHAKAM telah
melampirkan borang maklum balas guru dan murid untuk memberikan pendapat
dan komen untuk penambah baikan.
5