Modul Hak Asasi Pasca UPSR
Bagi mengukuhkan penyampaian pendidikan hak asasi manusia, pada tahun 2009,
SUHAKAM dengan sokongan penuh KPM telah memperkenalkan program Amalan
Terbaik Hak Asasi Manusia (ATHAM) di sekolah-sekolah. Program ini bertujuan
mewujudkan sekolah mesra hak asasi manusia, iaitu sekolah yang mengamalkan hak
asasi manusia dalam pelaksanaan pendidikan kepada warga sekolah. Program ini
menggalakkan pewujudan persekitaran dan komuniti sekolah yang peka kepada
amalan hak asasi manusia dan hak kanak-kanak dalam aspek pengajaran,
pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran sekolah serta mengamalkan sifat
hormat-menghormati dan bertanggungjawab oleh semua warga sekolah.
Pada tahun 2018, program ATHAM dijalankan di 222 buah sekolah yang telah dipilih
oleh KPM berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan bersama. Ia meliputi
sekolah menengah, sekolah rendah, sekolah vernakular, sekolah agama dan sekolah
Orang Asli/Asal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Bagi memantapkan pendidikan hak asasi manusia di sekolah, SUHAKAM dengan
kerjasama KPM kini memperkenalkan modul-modul hak asasi manusia untuk murid
yang baru selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan
Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
4