MESEJ PENGERUSI
PERUTUSAN PENGERUSI
Laporan Tahunan Ke-10 SUHAKAM ke Parlimen ini merupakan
laporan pertama Suruhanjaya sejak pelantikan anggotanya pada
April 2010. Suruhanjaya terus menerima pelbagai laporan dan aduan
daripada orang awam berhubung penyalahgunaan dan pencabulan
hak asasi manusia. Adalah membanggakan apabila melihat ramai
rakyat Malaysia kini mulai sedar dan mengamalkan hak asasi mereka
berbanding sedekad yang lalu. Kini semakin ramai orang awam
mahukan campurtangan Suruhanjaya bagi menyokong hak mereka.
Suruhanjaya telah bertindak mengikut kemampuannya, sepertimana
digariskan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
1999 (Akta 597).
Suruhanjaya berterima kasih kepada 16 orang anggotanya terdahulu, yang diketuai oleh Tan Sri
Abu Talib Othman, atas sumbangan berharga mereka dalam mempromosi dan melindungi hak asasi
manusia sepanjang tempoh perkhidmatan mereka sehingga Suruhanjaya dihormati, dalam negara
mahupun di peringkat antarabangsa. Ketujuh-tujuh anggota Suruhanjaya semasa akan meneruskan
usaha mempromosi, melindungi dan memantau situasi hak asasi manusia secara berterusan dan
berdasarkan pencapaian terdahulu, walaupun bilangan anggotanya kecil. Kami percaya perlunya
usaha yang berterusan untuk merealisasikan matlamat mutlak dalam membangunkan masyarakat
yang lebih menghargai dan menghormati hak asasi manusia, dan menjadikan Malaysia sebagai negara
yang menghormati hak asasi manusia sepenuhnya, berdiri megah setaraf dengan negara-negara lain
yang mendahului dalam perkara ini.
Keutamaan Suruhanjaya pada tahun ini adalah menangani semula pelbagai isu hak asasi manusia yang
ditimbulkan sebelum ini, diikuti dengan memajukan lebih banyak syor yang dibuat oleh Suruhanjaya
terdahulu dan pejuang hak asasi manusia yang lain serta memastikan pelaksanaan segera oleh
agensi Kerajaan yang berkaitan. Sejak penubuhannya pada 1999, Suruhanjaya telah memainkan
peranannya dalam menasihati Kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan, mengenai pembaharuan
undang-undang dan polisi dan pelaksanaannya, serta pemantauan undang-undang dan polisi tersebut
bagi memastikan keserasian antara undang-undang negara dan prinsip hak asasi manusia. Kami
mengalu-alukan tindakan positif yang telah diambil Kerajaan ke arah penambahbaikan keadaan hak
asasi manusia di negara ini dan berharap dapat bekerjasama erat dan konstruktif dengan agensi
Kerajaan yang berkaitan berhubung perkara ini.
1