MESEJ PENGERUSI
Sepanjang tempoh penubuhannya, Suruhanjaya telah menjalankan beberapa inkuiri awam. Ia turut
mengesyorkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negara 1960 (ISA) dan mengkaji semula
perundangan penahanan arbitrari, mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Seksyen
27 Akta Polis dan Akta Rahsia Rasmi, dan penghapusan hukuman gantung dan penjara sepanjang
hayat. Bagi meneruskan usaha ini, Suruhanjaya terlibat dengan dialog bersama agensi Kerajaan bagi
menyakinkan mereka mengenai kepentingan pendekatan tersebut dan mempercepatkan proses
pelaksanaannya. Sehubungan ini, Suruhanjaya mengalu-alukan tindakan Kerajaan untuk meminda
ISA, yang diharapkan sebagai langkah pertama ke arah pemansuhannya. Suruhanjaya menyeru
Kerajaan agar memastikan pindaan tersebut menepati prinsip hak asasi manusia berhubung dengan
hak tahanan untuk kebebasan individu, hak kepada perbicaraan adil dan hak untuk dianggap tidak
bersalah hingga didapati sebaliknya, sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 3, 10 dan 11
Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Untuk terus berdepan dengan peningkatan aduan hak asasi manusia yang diterima secara berkala,
Suruhanjaya telah mengemukakan syor-syor, antara lain, berkenaan kegagalan polis untuk bertindak
ke atas aduan yang dilaporkan, penahanan dan penangkapan arbitrari, penggunaan kekerasan
melampau oleh pegawai penguatkuasa, dan penafian hak kepada perhimpunan aman dan kebebasan
bersuara.
Pada penghujung tahun, Suruhanjaya telah melangkah setapak ke hadapan dalam usahanya
melindungi hak Orang Asal/Asli melalui penubuhan Jawatankuasa Hak Orang Asal/Asli, yang berfungsi
sebagai mekanisme fokal dalam memantau kes-kes pencabulan Orang Asal/Asli. Suruhanjaya telah
memutuskan untuk menjalankan Inkuiri Nasional yang pertama mengenai hak Orang Asal/Asli
kepada tanah berdasarkan fakta di mana kebanyakan aduan berkisar mengenai tanah – pemilikan
tanah, kehilangan tanah akibat pengusiran dan impak pembangunan terhadap kehidupan dan
persekitaran mereka. Suruhanjaya berpendapat bahawa hal tanah Orang Asal/Asli merupakan isu
kritikal yang perlu ditangani secara serius oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Sehubungan itu,
secara rasionalnya Suruhanjaya berharap Inkuiri Nasional ini akan mendapat sokongan dan kerjasama
penuh daripada Kerajaan.
Seksyen 21 (1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) mewajibkan
Suruhanjaya menyerahkan Laporan Tahunannya ke Parlimen semasa persidangan pertamanya.
Malangnya, walaupun laporan ini telah diserahkan tanpa gagal sejak 10 tahun lepas, tiada
satu pun daripadanya dibahaskan. Sebagai badan penasihat tanpa kuasa penguatkuasaan dan
pelaksanaan, Suruhanjaya menggesa Ahli Parlimen agar membahaskan Laporan Tahunannya, atau
sekurang-kurangnya, mengambil isu penting hak asasi manusia yang dibangkitkan dalam laporan
dan menyokong sepenuhnya syor yang diutarakan di dalam laporan tersebut, bagi melindungi dan
mempromosikan hak asasi manusia kepada orang ramai.
3