PERUTUSAN PENGERUSI ketat dikenakan untuk menganjurkan perhimpunan. Tidak hairan ia kurang diterima orang ramai yang mahukan masyarakat yang lebih terbuka dan bebas serta demokrasi yang lebih kukuh. Sebelum menguatkuasakan Akta tersebut, Suruhanjaya berharap, Kerajaan akan terbuka kepada rundingan selanjutnya bagi menerima input tambahan daripada orang ramai dan Suruhanjaya, supaya isu yang sangat kontroversi ini boleh ditangani sebaiknya bagi menjadikan Akta ini selaras dengan amalan kontemporari antarabangsa. Suruhanjaya terus prihatin terhadap beberapa isu lain yang turut ditangani oleh organisasi masyarakat sivil, antaranya berkaitan dengan tahanan pencegahan, kebebasan bersuara, kebebasan beragama, hak golongan rentan, dan masalah pekerja migran. Satu perkara yang terus membimbangkan adalah dakwaan penggunaan kekerasan melampau oleh polis, terutama dalam menyoalsiasat tahanan. Suruhanjaya akan menggesa agensi-agensi penguatkuasaan agar lebih mematuhi standard hak asasi manusia antarabangsa dalam menjalankan tanggungjawab mereka, dan berusaha untuk terus mengemaskini dasar, serta kaedah dan prosedur soal siasat, supaya mereka boleh dianggap sebagai antara yang terbaik di rantau Asia Pasifik, jika tidak di dunia. Dengan mengambil kira masalah golongan rentan, Suruhanjaya saling bekerjasama dengan Kerajaan, dalam beberapa inisiatif, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini termasuk meminta Kerajaan mempertimbangkan penarikan balik reservasi terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), dan untuk meratifikasi, sekurang-kurangnya buat permulaan, Protokol-protokol Pilihan Konvensyen tersebut. Suruhanjaya akan terus mengetengahkan perspektif hak asasi manusia melalui pelbagai platform, termasuk dalam konteks pelantikannya sebagai ahli Majlis Perundingan Penasihat Kebangsaan untuk Kanak-Kanak baru-baru ini, semasa menjalankan fungsi pemantauan bebas sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI). Orang Asal/Asli adalah antara kumpulan paling rentan di dunia dan tidak terkecuali di Malaysia juga. Berikutan aduan berterusan ahli-ahli komuniti ini sejak sekian lama, Suruhanjaya telah melancarkan Inkuiri Nasional pertamanya yang memfokuskan kepada isu hak tanah mereka, sama ada tidak diiktiraf atau dipertikaikan, diceroboh atau dimusnahkan, dan ini sekaligus mengakibatkan mereka terus terpinggir walaupun Malaysia sedang melangkah mencapai status negara maju. Adalah menjadi harapan Suruhanjaya, dengan selesainya hasil Inkuiri pada pertengahan 2012 dan penyerahan laporannya ke Parlimen serta Dewan Undangan Negeri, syor-syor tersebut akan diberi pertimbangan sewajarnya dan tindakan susulan akan diambil bagi tujuan penyelesaian atau sekurang-kurangnya penambahbaikan, nasib mereka yang sebahagian besarnya dipinggirkan, sedangkan mereka merupakan antara penduduk asal negara kita. Tahun ini menyaksikan beberapa perkembangan positif, dan yang paling bermakna merupakan keputusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933; serta pemansuhan Perisytiharan Darurat sedia ada yang telah lapuk dan kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Polis 1967. Suruhanjaya menyambut baik keputusan Perdana Menteri yang berani dan bersejarah, selaras dengan hasrat beliau untuk melihat negara mengamalkan demokrasi sepenuhnya. 2

اختر الفقرة المستهدفة3