ULASAN PENGERUSI
Perlindungan dan promosi hak kanak-kanak kekal sebagai salah satu bidang
tumpuan utama bagi SUHAKAM pada tahun 2016. Semua dasar, undangundang, dan tindakan yang memberi kesan kepada kanak-kanak telah
dipertimbangkan dengan teliti oleh SUHAKAM, dan kami telah menasihatkan
pihak berkuasa bahawa kesemua ini mestilah dirangka, dilaksanakan, dan
dipantau secara yang selaras dengan kepentingan terbaik kanak-kanak. Di
dalam sistem undang-undang kita, masih terdapat ruang bermasalah yang
belum ditangani, yang telah terabai di dalam pindaan Akta Kanak-kanak 2001
tahun lepas. Ini termasuk antara lainnya isu-isu mendesak seperti pornografi
kanak-kanak, pedofilia, dan perkahwinan kanak-kanak.
Kerajaan perlu menjalankan usaha bersepadu untuk membendung masalah
eksploitasi kanak-kanak yang semakin meningkat, kerana undang-undang
semasa tidak mencukupi dan perlu diperketatkan. Pada masa ini, tidak ada
peruntukan dalam undang-undang jenayah Malaysia untuk menangani
secara khusus isu pornografi kanak-kanak. Undang-undang sedia ada seperti
Akta Penerbitan 1998, Akta Penapisan Filem 2002, dan Kanun Keseksaan tidak
menangani isu pornografi kanak-kanak secara menyeluruh. Jawatankuasa Hak
Kanak-kanak (Jawatankuasa CRC), apabila mengkaji laporan awal Kerajaan
terhadap Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), melahirkan
kebimbangan mengenai ketiadaan undang-undang tertentu mengenai
kesalahan seksual yang berkaitan dengan Internet termasuk pornografi kanakkanak, dan mengesyorkan kepada Kerajaan untuk mempertimbangkan
pemakaian undang-undang khusus mengenai tanggungjawab pembekal
perkhidmatan Internet berkaitan dengan pornografi kanak-kanak di Internet.
Memandangkan tanggungjawab Malaysia di bawah CRC dan Protokol
Pilihan, SUHAKAM sekali lagi mengulangi saranannya kepada Kerajaan untuk
menggubal peruntukan khusus dalam Akta Kanak-kanak 2001 untuk menangani
isu pornografi kanak-kanak.
Oleh kerana kesukaran dalam pelaporan, pengesanan, penyiasatan, atau
pendakwaan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, pesalah seks kanakkanak mungkin hanya menghadapi risiko yang rendah untuk disabitkan di
bawah undang-undang negara buat masa ini. Disebabkan itu, SUHAKAM
menggesa Kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada dan
memberi keutamaan tinggi kepada tindakan untuk menangani segala bentuk
kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. Sekarang pun, jenayah tersebut
hanya boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan sebagai kesalahan luar
tabii atau menghasut kanak-kanak untuk melakukan perbuatan kelucahan
melampau. SUHAKAM berharap bahawa undang-undang yang mantap dan
khusus untuk melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan dan
penderaan seks akan segera dilaksanakan; termasuk undang-undang yang
akan membantu Polis, pendakwa raya, dan agensi-agensi penguatkuasaan
untuk menjejaki, menangkap, dan membawa ke muka pengadilan mereka
yang cuba mempersiapkan kanak-kanak secara seksual di Internet.
12 LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2016
suhakam BM.indd 12
4/21/17 12:07 PM