ULASAN PENGERUSI Tahun lalu menyaksikan pelancaran dua laporan kajian bertema iaitu “Kematian Dalam Tahanan Polis: Kajian Mengenai Keadaan Lokap Dan Faktor Yang Menyumbang Kepada Kematian” dan “Penjagaan Kesihatan Di Penjara Malaysia: Hasil Laporan Dan Tinjauan Seluruh Negara”. Salinan kedua-dua laporan ini telah diedarkan kepada pihak berkuasa dan SUHAKAM berharap Kerajaan akan melaksanakan syor-syor yang dikemukakan di dalam laporan tersebut bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara dalam menangani pelbagai masalah yang membimbangkan dan berterusan di tempat tahanan. SUHAKAM terus menyuarakan pendiriannya yang tegas bahawa langkahlangkah konkrit perlu diambil untuk membasmi semua bentuk penyeksaan. Dalam semua keadaan dan tanpa pengecualian, penyeksaan tidak selaras dengan kepercayaan umum yang didokong dan dipromosi oleh Malaysia, dan yang ingin kita lihat dilindungi di seluruh dunia. Kerja SUHAKAM sepanjang tahun berhubung dengan perkara ini dan secara khususnya di tempat tahanan telah melibatkan sembilan lawatan pemantauan ke tempat-tempat tahanan. SUHAKAM juga bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, dan PDRM, dan terus memberi nasihat berkenaan prinsip-prinsip dan keterpakaian Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan, Atau Menjatuhkan Maruah (CAT). SUHAKAM telah berulang kali mengutarakan masalah serius berkaitan dengan tempat tahanan di negara ini seperti keadaannya yang tidak boleh diterima, yang jauh di bawah piawaian minimum. Walaupun populasi tahanan kebanyakannya lelaki, semakin ramai wanita dan kanak-kanak yang diletakkan di tempat tahanan tanpa membuat perubahan infrastruktur yang perlu. SUHAKAM berpendapat bahawa peningkatan populasi tahanan adalah tidak seiring dengan peningkatan dalam sumber-sumber yang diperlukan seperti bajet. Ini mempunyai kesan ke atas keseluruhan sistem tersebut, yang seterusnya mengakibatkan tekanan yang lebih tinggi ke atas pentadbiran serta kakitangan tempat tahanan. SUHAKAM selama ini telah melihat kesan kesesakan di penjara dan pusat tahanan imigresen ke atas tahanan. Ini merupakan isu kemanusiaan yang serius yang boleh membawa kepada kemerosotan keadaan hidup dalam tempoh penahanan, yang kadang kala boleh menjadi keadaan yang tidak berperikemanusiaan. Tahanan, terutamanya di pusat-pusat tahanan imigresen, tinggal untuk tempoh yang panjang di dalam sel-sel yang sesak tanpa ruang yang cukup untuk bergerak atau tidur. Tambahan pula, pengurungan di dalam ruang yang kecil dan dalam persekitaran yang selalunya tidak bersih menyebabkan sekatan terhadap hak untuk bebas menjadi lebih mencabar. Bukan sahaja aspek maruah tahanan yang terjejas, malah kesihatan mental, emosi, dan fizikal mereka kadang kala terus merosot. LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2016 3 suhakam BM.indd 3 4/21/17 12:07 PM

اختر الفقرة المستهدفة3