Isu-Isu Utama
Seterusnya, Suruhanjaya mengambil maklum dan menyokong inisiatif Kerajaan untuk
meminda ATIPSOM. Suruhanjaya maklum bahawa semasa sesi dialog yang diadakan pada
bulan September, Kerajaan telah mencadangkan untuk meminda ATIPSOM bagi membenarkan
Rumah Perlindungan NGO untuk beroperasi sebagai tempat perlindungan kepada individu
yang menjadi mangsa pemerdagangan dan untuk memperluaskan kriteria untuk melantik
Pegawai Pelindung. Cadangan Kerajaan untuk membenarkan “mana-mana orang yang sesuai”
termasuk ahli NGO, untuk dilantik sebagai Pegawai Pelindung, Suruhanjaya mengesyorkan
agar Akta ini hendaklah mengehadkan dan menetapkan kriteria bagi terma “mana-mana orang
yang sesuai” untuk mengelakkan penyalahgunaan peruntukan itu.
(e) Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014
Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 mula berkuatkuasa pada 1 April
2014. Walaupun telah dipinda, Suruhanjaya melihat Akta ini masih bersifat terkebelakang
dan tidak konsisten dengan prinsip hak asasi manusia sepertimana yang terkandung
dalam Perlembagaan Persekutuan dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Suruhanjaya khususnya bimbang mengenai peruntukan yang membenarkan penahanan tanpa
bicara dan penafian hak seseorang untuk mendapatkan akses kepada peguam dan kepada
perbicaraan yang adil, serta dianggap sebagai tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya
mengikut undang-undang di dalam perbicaraan terbuka. Walaupun mengambil maklum
jaminan Kerajaan bahawa pindaan Akta ini akan hanya digunakan sebagai pilihan terakhir
dan sesiapa yang ditahan di bawah Akta ini akan diberikan kaunseling, adalah penting bagi
Kerajaan untuk menterjemahkan jaminan tersebut ke dalam peruntukan undang-undang bagi
memastikan keberkesanan pelaksanaan Akta serta pemulihan tahanan oleh pihak berkuasa
yang berkaitan.
17