Ringkasan Eksekutif
RINGKASAN EKSEKUTIF
Bagi memenuhi visi dan misinya, Suruhanjaya telah melaksanakan program dan aktiviti
berdasarkan Pelan Kerja sejajar dengan Pelan Strategik (2012-2016) yang telah dirangkanya.
Suruhanjaya telah menjalankan pelbagai aktiviti dan program berbentuk pendidikan, latihan,
dan penglibatan kemasyarakatan bersama segenap lapisan rakyat Malaysia.
Penyelidikan, advokasi dan syor-syor turut disediakan untuk Kerajaan dan pihak berkepentingan
bagi memastikan hak asasi manusia dihormati di sisi undang-undang, polisi dan amalan
negara, serta difahami oleh agennya.
Pentauliahan Suruhanjaya, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai Institusi Hak
Asasi Manusia Nasional (NHRI) bertaraf ‘A’, akan dinilai semula pada bulan Oktober 2015.
Pentauliahan ini, yang dinilai semula setiap lima tahun, memerlukan setiap NHRI mematuhi
sepenuhnya Prinsip PBB Berkenaan Status Institusi Nasional, yang turut dikenali sebagai
Prinsip-prinsip Paris. Adalah penting bagi Suruhanjaya untuk mengekalkan pentauliahannya
bagi memenuhi peranannya yang begitu mustahak dalam mempromosi dan memantau
keberkesanan pelaksanaan piawaian antarabangsa hak asasi manusia di peringkat nasional.
LAPORAN KUMPULAN PENDIDIKAN DAN PERHUBUNGAN AWAM
Untuk tahun 2014, Bahagian Pendidikan dan Promosi, dalam meneruskan mandat
Suruhanjaya untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran hak asasi manusia di sekolah,
telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bagi memperluaskan
program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (ATHAM) kepada 138 buah sekolah kebangsaan
dan 93 buah sekolah Orang Asli. Selari dengan matlamat program ATHAM untuk menerapkan
nilai dan prinsip hak asasi manusia ke dalam komuniti sekolah, beberapa buah sekolah telah
menunjukkan hasil positif dari segi kadar vandalisme, disiplin dan perilaku pelajar. Program ini
dijangka akan dilancarkan oleh KPM di Sabah dan Sarawak pada tahun 2015.
Pada masa yang sama, Suruhanjaya telah menjalankan program Jurulatih Utama (Master
Trainers) bagi guru-guru peringkat Kaunselor Negeri dan juga terus menganjurkan bengkel
hak asasi manusia untuk tenaga pengajar pendidikan khas dan sekolah agama. Bahagian ini
juga telah menyampaikan ceramah kepada para siswa dan menjalankan latihan untuk pegawai
penguatkuasa, selain menganjurkan road show dan seminar untuk masyarakat akar umbi di
pelbagai lokasi.
Bahagian Perhubungan Awam telah menganjurkan tiga acara utama yang bertujuan untuk
mempromosi kesedaran hak asasi manusia di kalangan masyarakat awam serta pihak
5