PERUTUSAN PENGERUSI
TAN SRI HASMY AGAM
Pengerusi
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
Laporan ini merupakan Laporan Tahunan ke-14 yang dihasilkan oleh Suruhanjaya sejak ia mula
beroperasi pada bulan April 2000 sebagai sebuah Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI)
yang bebas, yang mempromosi dan melindungi hak asasi manusia semua rakyat di Malaysia.
Laporan ini membentangkan rekod kerja Suruhanjaya termasuk aktiviti dan program yang telah
dijalankan, penyampaian perkhidmatan dan pengurusan kewangan bagi tempoh yang berakhir
31 Disember 2014.
Pada tahun ini, Suruhanjaya terus menjalankan fungsi dan kuasa utama di bawah Seksyen
4 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) melalui antaranya, kajian
tematik; aktiviti pendidikan dan peningkatan kesedaran; advokasi mengenai penyertaan negara
kepada baki triti teras hak asasi manusia dan protokol pilihan, serta penarikan balik reservasi
kepada tiga triti yang telah diratifikasi atau disertai oleh negara; pemantauan pelaksanaan
negara terhadap obligasi triti; siasatan mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia;
dan penglibatan dengan pihak berkepentingan tempatan, serantau dan antarabangsa serta
mekanisme hak asasi manusia. Ia juga meneruskan usaha yang masih berjalan berkenaan
dengan hak-hak golongan rentan seperti Orang Asal, kanak-kanak dan wanita, orang kurang
upaya, warga tua, pekerja migran, tahanan, pelarian dan pencari suaka.
Dalam memenuhi mandatnya, Suruhanjaya turut mengemukakan pandangan dan syor tentang
pelbagai isu hak asasi manusia di negara ini menerusi kenyataan media dan wawancara. Satu
isu yang membimbangkan Suruhanjaya adalah peningkatan berhubung penangkapan dan
pendakwaan terhadap individu di bawah Akta Hasutan 1948 oleh pihak berkuasa di Malaysia.
Lantaran itu, Suruhanjaya telah menyeru kepada pemansuhan Akta ketinggalan zaman ini,
yang boleh menghukum penyuaraan pendapat atau perbuatan yang dianggap mempunyai
kecenderungan “menghasut”.
1