Bab 1 - Laporan Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam
(C) dan SRJK (T) telah diubahsuai menjadi lebih jelas dan mudah. Hal ini mungkin
mendiskriminasikan murid MBK kerana mereka diuji pada tahap yang tidak bersesuaian
dengan mereka.
ii.
Kekurangan bahan rujukan (buku) kod tangan, terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa
Melayu, menyebabkan kesukaran kepada guru untuk mengajar. Buat masa ini, mereka
masih menggunakan buku kod tangan terbitan tahun 1988, yang hanya mengandungi
perbendaharaan kata sebanyak 4,000 isyarat sahaja. Situasi ini menimbulkan kesukaran
kepada guru-guru untuk mengajar pelajar bermasalah pendengaran, terutamanya bagi
guru yang tidak dilatih untuk mengajar pelajar tersebut.
iii.
Kekurangan latihan bagi guru-guru pendidikan khas. Hal ini menyebabkan
ketidakselarasan dalam hal-hal tertentu, seperti penggunaan Bahasa Isyarat, sekaligus
menimbulkan kesukaran bagi pelajar untuk memahami apa yang diajar.
iv.
Sebilangan guru pendidikan khas tidak diberi penempatan tugas yang sepadan dengan
bidang pengkhususan mereka. Sebagai contoh, ada guru yang kelayakannya dalam
bidang masalah pembelajaran telah ditempatkan untuk mengajar murid bermasalah
pendengaran.
v.
Tiada sekolah sukan yang disediakan khas untuk pelajar-pelajar pendidikan khas,
sepertimana Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar yang disediakan khas
untuk pelajar normal yang cemerlang dalam bidang sukan.
(c) Sekolah Untuk Kanak-kanak Orang Asli
Suruhanjaya telah dimaklumkan bahawa pengagihan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin
(KWAPM) masih menjadi isu setiap tahun sejak tiga tahun kebelakangan. Isu ini telah diberi
penekanan dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya 2012 dan walaupun Kerajaan telah memberi
sedikit pencerahan tentang isu ini di dalam Maklum Balas Kerajaan Terhadap Laporan Tahunan
2012 tersebut, masalah ini masih lagi belum selesai. Diperhatikan terdapat isu penyelarasan
di antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), KPM dan sekolah-sekolah yang berkenaan.
Ini menyebabkan ramai murid yang layak telah ketinggalan daripada menerima bantuan
kewangan. Suruhanjaya dimaklumkan bahawa di sesetengah sekolah, bantuan kewangan
ini telah diagihkan kepada murid-murid pada akhir Oktober 2014. Suruhanjaya berpendapat
bahawa adalah penting untuk memastikan bantuan diberikan secepat mungkin iaitu pada awal
tahun persekolahan, pada masa ianya paling diperlukan.
Suruhanjaya mendapati bahawa pakaian seragam sekolah yang diberikan oleh JAKOA masih
kurang bermutu. Ini telah menjadi satu isu sejak bertahun lamanya. Pakaian seragam tersebut
lewat diagihkan sehingga ibu bapa perlu membelinya sendiri kerana sesi persekolahan telah
bermula, ataupun pakaian seragam tersebut tidak menepati saiz kanak-kanak kerana ia terlalu
besar. Suruhanjaya mendapati pakaian seragam yang terlalu besar boleh membahayakan
kanak-kanak kerana ia menghalang pergerakan mereka dan juga tidak selesa.
23