Isu-Isu Utama bersama orang dewasa di dalam sel yang sama. Ini bukan sahaja bertentangan dengan prinsip penahanan berasingan tetapi juga mendedahkan kanak-kanak ini kepada risiko penderaan dan penganiayaan. Oleh itu, Suruhanjaya melihat keperluan untuk menyokong Kerajaan dalam mengenalpasti dan sekiranya perlu, membangunkan mekanisme untuk memastikan bantuan dan perlindungan yang berkesan diberikan secara sistematik, menyeluruh dan bersepadu bertepatan dengan prinsip ‘kepentingan terbaik kanak-kanak’. Suruhanjaya dan beberapa pertubuhan masyarakat sivil, di dalam usaha untuk menangani isu ini, sedang mengkaji kaedah lain sebagai alternatif kepada penahanan imigresen terhadap kanak-kanak dan juga melihat kepada amalan terbaik beberapa negara lain. Pada tahun 2014, Suruhanjaya telah membentangkan cadangan kepada Menteri Dalam Negeri yang telah menyokong inisiatif ini dan Suruhanjaya telah diminta untuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen. Lanjutan daripada ini, satu kumpulan kerja telah ditubuhkan untuk menjalankan kajian dan membuat pengesyoran berkenaan model alternatif kepada penahanan imigresen. Ahli kumpulan kerja ini terdiri daripada Jabatan Imigresen, Suruhanjaya, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan masyarakat sivil seperti SUKA Society, Yayasan Chow Kit dan International Detention Coalition. Kumpulan kerja ini telah bersetuju untuk melancarkan projek perintis yang mana kanak-kanak tanpa penjaga akan menjadi tumpuan utama projek ini. 7. HAK ASASI MANUSIA DAN PERNIAGAAN Pada tahun 2011, Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah menerima pakai Prinsip-Prinsip Panduan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia dan Perniagaan (UNGP). Prinsip ini menggariskan tugas dan tanggungjawab Kerajaan dan perniagaan dalam melindungi, mempromosi dan menghormati hak asasi manusia. Melalui Prinsip ini, syarikat di seluruh dunia telah diberikan mandat untuk menunjukkan bahawa mereka akan menghormati hak asasi manusia melalui operasi atau perhubungan perniagaan mereka. Walaupun Kerajaan memegang tanggungjawab utama untuk memastikan promosi dan perlindungan hak asasi manusia, syarikat sebagai organ masyarakat mempunyai tugas untuk mempromosi dan menjaga hak asasi sepertimana yang telah digariskan di dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Pada masa kini, perniagaan tidak akan berjaya menangani isu risiko kepada hak asasi manusia tanpa kerjasama daripada Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Aktiviti perniagaan memberikan impak kepada kehidupan dan hak asasi manusia. Sebagai contoh, aktiviti yang dilakukan oleh syarikat perladangan mungkin akan memberi kesan yang menyeluruh terhadap alam sekitar dan hak asasi manusia Orang Asal yang tinggal di kawasan tersebut. Terdapat banyak contoh perniagaan yang telah mencapai kejayaan melalui hak asasi manusia, tetapi bagaimanakah situasi ‘menang-menang’ ini dapat dicapai? 12

اختر الفقرة المستهدفة3