PERUTUSAN PENGERUSI
TAN SRI HASMY AGAM
Pengerusi
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
Setiap tahun, Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia diserahkan ke
Parlimen sejajar dengan Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999
(Akta 597). Ini merupakan Laporan Tahunan ke 12 Suruhanjaya dan yang ketiga oleh anggota
Suruhanjaya semasa. Ia merekodkan program dan aktiviti Suruhanjaya dalam memenuhi
mandatnya sebagai sebuah badan berkanun untuk mempromosi dan melindungi hak asasi
manusia.
Suruhanjaya gembira dengan beberapa perkembangan positif keadaan hak asasi manusia
pada tahun ini. Suruhanjaya menyambut baik pembatalan tiga Perisytiharan Darurat, dan
pemansuhan undang-undang pencegahan – Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta
Buang Negeri 1959, dan Akta Kediaman Terhad 1933 – kerana kebanyakan peruntukan tersebut
melanggar prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa, dan Perisytiharan Hak Asasi
Manusia Sejagat (UDHR). Dalam memastikan langkah-langkah konkrit yang akan diambil,
Suruhanjaya berasa kesal apabila sebaik sahaja pengumuman bersejarah pemansuhan ISA
dibuat, 13 suspek militan telah ditahan di bawah Akta tersebut. Suruhanjaya berpandangan,
ia adalah satu langkah mundur dan tidak konsisten dengan semangat di sebalik keputusan
memansuhkan ISA. Pastinya, tindakan tersebut mendapat komen negatif dari dalam dan luar
negara yang mendesak Kerajaan agar mempercepatkan proses pemansuhan ISA dan undangundang pencegahan sedia ada yang lain.
Suruhanjaya menyedari sepenuhnya keperluan untuk mengekalkan ketenteraman awam dan
keselamatan negara. Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan fungsi undang-undang dan
ketenteraman, setiap usaha perlu dibuat agar mematuhi standard dan norma antarabangsa.
Selari dengan prinsip dan pendiriannya, Suruhanjaya menyeru agar semua tahanan yang
masih ditahan di bawah undang-undang pencegahan penahanan dibebaskan, atau didakwa di
bawah undang-undang lain dan dibicarakan di mahkamah sebagai sebahagian daripada proses
undang-undang yang sewajarnya.
1