Perutusan Pengerusi
undang dan peraturan negara atau menyebarluas undang-undang dan peraturan baru. Walau
bagaimanapun, proses ini telah mengambil masa yang terlalu lama - dalam beberapa kes,
melebihi empat dekad – menjadikan alasan Kerajaan tidak lagi munasabah. Adalah penting
bagi Kerajaan mempercepatkan proses penyertaan seiring dengan langkahnya mencapai status
negara maju. Jika tidak, setelah Malaysia mencapai status negara maju yang diingininya, ia tidak
akan memperolehi kedudukan yang setanding di kalangan negara maju yang telah menyertai
kesemua instrumen teras tersebut. Selain perlunya kesungguhan politik dan keazaman yang
kuat untuk terus melangkah ke hadapan, Malaysia perlu mengikuti perkembangan pesat dunia
globalisasi dan tanpa sempadan, atau terus ketinggalan.
Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional (NHRAP) memainkan peranan penting dalam
usaha Malaysia menjadi negara yang mematuhi sepenuhnya piawaian hak asasi manusia
antarabangsa. Suruhanjaya berpuas hati Kerajaan kini mula menyokong tujuan ini dan bersetuju
merumuskan NHRAP; malah, akhir-akhir ini, ia telah mengambil beberapa langkah awal
tetapi penting ke arah itu. Suruhanjaya meletakkan harapan tinggi kepada kejayaan NHRAP
dan berharap untuk bekerjasama dengan agensi fokal Kerajaan dalam memastikan proses
membangunkan NHRAP dilaksanakan secepat mungkin, secara telus dan melalui perundingan
bersama semua pihak berkepentingan, dan ia akan menjadi satu pelan yang bukan sahaja
bercita-cita tinggi, tetapi juga realistik.
Pada bulan Oktober-November 2013, Malaysia akan melalui Penilaian Penggalan Sejagat (UPR)
kedua susulan daripada kitaran penilaian empat setengah tahun yang mana komitmen hak
asasi manusia yang dibuat pada tahun 2009 akan dinilai. Oleh kerana proses UPR merupakan
proses penilaian paling penting dan telus oleh komuniti antarabangsa ke atas rekod hak asasi
manusia negara anggota PBB, persediaan teliti Kerajaan adalah amat penting. Suruhanjaya
berharap Kerajaan akan lebih terbuka dan menerima pandangan masyarakat awam, dan akan
meningkatkan penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan melalui dialog yang lebih
kerap serta perkongsian kepakaran dalam proses susulan UPR, serta dalam penyediaan untuk
kitaran UPR Malaysia yang seterusnya. Suruhanjaya berharap Kerajaan akan mengemukakan
laporan positif dan meyakinkan mengenai pencapaian komitmen hak asasi manusianya, yang
akan menggambarkan dengan baik kedudukan negara sebagai anggota semasa Majlis Hak
Asasi Manusia PBB. Suruhanjaya, yang telah membentangkan laporan interim kepada Majlis
Hak Asasi Manusia PBB pada bulan September 2011 mengenai pelaksanaan syor-syor UPR,
telah melaksanakan proses konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan sebagai persediaan
laporan bebas UPR bagi kitaran seterusnya.
Walaupun terdapat perkembangan positif mengenai keadaan hak asasi manusia di dalam negara,
masih tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap perkembangannya di masa hadapan sama
ada akan diteruskan dan dikekalkan. Pastinya, masih banyak ruang untuk penambahbaikan,
terutama sekali perlunya penyertaan kepada instrumen teras hak manusia yang selebihnya.
Suruhanjaya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan dan pihak berkepentingan lain dalam
memastikan perkembangan yang berterusan ke arah pencapaian standard hak asasi manusia
yang lebih baik di masa hadapan.
4